Kenaikan OPR tidak akan beri kesan negatif kepada pelanggan Co-op Bank Pertama | DagangNews Skip to main content

Kenaikan OPR tidak akan beri kesan negatif kepada pelanggan Co-op Bank Pertama

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mei - Co-op Bank Pertama (CBP) menjangkakan tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.0% tidak akan memberi kesan negatif ke atas pelanggan individu dan koperasi perbankan itu. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, institusi kewangan itu sudah mengambil langkah berhati-hati dalam usaha menyokong ekonomi negara tanpa mengabaikan kepentingan pelanggan.

 

“OPR mengambil kira daripada keadaan ekonomi yang sedang pulih dan aspek daripada sudut simpanan. 

 

“CBP tetap menekankan kepentingan dalam memberi pulangan balik kepada pelanggan dan selari kenaikan OPR yang diumumkan Bank Negara. 

 

“Kenaikan peratusan komitmen dikenakan berdasarkan kemampuan pelanggan untuk membayar dan jumlahnya agak relevan dan rendah untuk ditanggung pelanggan baik individu atau koperasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri CBP 2022 yang turut di hadiri Menteri Pembangungan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Zazali Haron.

 

coop
Khairil Anuar Mohammad Anuar

 

Mengulas mengenai produk perkhidmatan yang ditawarkan CBP, Khairil Anuar berkata, terdapat dua kategori iaitu baharu dan tambahan bagi sedia ada. 

 

“Sebagai contoh, pinjaman perumahan,  CBP sudah menjalinkan kerjasama dengan hampir 10 peneraju perumahan terkemuka dan akan menambah beberapa lagi bagi memberikan perkhidmatan pinjaman.

 

coop

 

“Sementara itu, bagi produk baharu pula kami masih dalam perancangan untuk memastikan perkhidmatan ditawarkan adalah terbaik selain mementingkan kebajikan pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan. 

 

“Kempen Raya 2 Raya CBP bermula April hingga Disember 2022, juga diperluaskan secara holistik dengan meliputi semua produk CBP antaranya produk perbankan runcit, produk koperasi, dan produk perkhidmatan yang lain,” katanya. 

 

Katanya, CBP berterima kasih kepada pelanggan yang sentiasa menyokong institusi kewangan itu selama lebih 70 tahun penubuhannya. 

 

“CBP juga kini dalam perancangan untuk melebarkan lagi produk pembiayaan yang diperlukan oleh masyarakat.

 

"Kini, kami merancang untuk mempelbagaikan lagi produk pembiayaan patuh syariah seperti pembiayaan sewa beli, pembiayaan mikro dan pelbagai lagi yang akan meluaskan lagi pasaran kita," katanya. - DagangNews.com