Kenaikan SST kepada 8% beri kesan kepada pengguna, sektor F&B secara tidak langsung | DagangNews Skip to main content

Kenaikan SST kepada 8% beri kesan kepada pengguna, sektor F&B secara tidak langsung

KUALA LUMPUR 16 Okt - Kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada 8% dijangka memberi kesan buruk kepada pengguna walaupun terdapat pengecualian ke atas sektor makanan dan minuman (F&B) kerana rantaian bekalan disepadukan, kata pakar kewangan.

 

Pengarah Urusan Wealth Vantage Advisory, Rafiq Hidayat berkata, kenaikan kadar SST menerusi Belanjawan 2024 memberi laluan kepada kenaikan harga makanan, dan seterusnya, menjejaskan pendapatan bersih isi rumah untuk berbelanja.

 

"Perdana Menteri mengumumkan bahawa SST tidak akan menyentuh F&B, tetapi dengan logistik dan kos semua rantaian bekalan lain (yang disepadukan), ia akan menuju ke arah kenaikan harga makanan satu cara atau yang lain," katanya.

 

Katanya, apabila harga di restoran meningkat, maka orang ramai akan kurang makan di luar. 

 

“Kemudian restoran akan ditutup dan menjejaskan pembekal, pekerja (restoran), dan lain-lain. Ia akan mempunyai kesan rantaian.

 

"Saya tidak tahu berapa pantas ia akan berlaku, tetapi ia akan memberi kesan," katanya pada sesi meja bulat media Persatuan Perancang Kewangan Malaysia 2024 hari ini.

 

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan kenaikan SST daripada 6% kepada 8%. Bagaimanapun, ini tidak akan terpakai kepada sektor F&B dan industri telekomunikasi.

 

Pengarah Eksekutif Bill Morrisons, Idi Irwan berkata, majoriti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga menghadapi tekanan dari segi cuba mengekalkan keuntungan mereka.

 

“Dengan pengenalan SST, jelas sekali cara mudah untuk semua PKS ini adalah dengan memindahkan beban kepada rakyat. Oleh itu, rakyat perlu mengeluarkan wang tambahan untuk menikmati semua perkhidmatan ini.

 

“Majoriti mungkin akan merasi kesannya dan fokus kepada perkara lain yang mereka mampu. Kemudian kesan rantaian akan bermula dan semua perniagaan ini akan mula ditutup satu demi satu,” katanya.

 

Sementara itu, Rafiq berkata, kerajaan seharusnya membentangkan model gaji progresif (PWM) semasa Belanjawan 2024 kerana ia adalah perkara yang diharapkan dibentangkan semasa sesi pembentangan itu.

 

"Saya mengharapkan Perdana Menteri akan bercakap mengenai PWM dalam Belanjawan 2024 tetapi ia langsung tidak disebutkan," katanya.

 

PWM telah diluluskan di peringkat Kabinet awal tahun ini tetapi perincian pelaksanaan dan kesannya terhadap pelbagai sektor masih belum diketahui.

 

PWM adalah struktur gaji untuk meningkatkan gaji pekerja melalui peningkatan kemahiran dan meningkatkan produktiviti. - DagangNews.com