Kenaikan tarif Bintulu Port mungkin ambil masa lebih lama daripada jangkaan - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Kenaikan tarif Bintulu Port mungkin ambil masa lebih lama daripada jangkaan - AmInvestment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Sept - Kenaikan tarif Bintulu Port mungkin mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan disebabkan oleh proses yang panjang untuk menyelaraskan semua pelabuhan Sarawak di bawah satu pihak berkuasa.

 

AmInvestment Bank Research kenaikan tarif mungkin hanya akan berlaku selepas penubuhan pihak berkuasa pelabuhan pusat, yang mungkin mengambil masa satu hingga dua tahun. 

 

"Mengikut pengambilalihan negeri Sarawak menjelang akhir 2024, Bintulu Port akan berada di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Pelabuhan Bintulu Sarawak (BPAS). 

 

"Kami tidak menolak kemungkinan adanya konsesi sementara lain kerana Sarawak mungkin mengutamakan usaha untuk menggabungkan pelabuhan ke dalam satu pihak berkuasa pelabuhan pusat bagi mengawasi semua pelabuhan di negeri berkenaan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penubuhan pihak berkuasa pelabuhan pusat bertujuan untuk menyelaraskan bayaran pelabuhan/kapal dan yuran lain untuk pengguna bagi membolehkan mereka menikmati perkhidmatan dan caj yang konsisten dalam Sarawak.

 

"Oleh kerana kenaikan tarif tidak dimasukkan dalam andaian, maka ramalan pendapatan Bintulu Port dikekalkan sebahagian besarnya," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Unjuran untung bersih Bintulu Port dinaikkan 10%, kargo LNG terus stabil - Kenanga Research

 

Bintulu Port Holdings Bhd mengendalikan pelabuhan kontena terbesar di Sarawak dan Sabah, dengan kapasiti untuk mengendalikan 500,000 unit bersamaan dua puluh kaki atau TEU kontena setahun.

 

Salah satu pelabuhan yang dikendalikannya ialah Pelabuhan Bintulu menerusi Bintulu Port Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Bintulu Port Holdings dan sebuah lagi ialah Pelabuhan Samalaju. 
 

Semenara itu, untuk tahun kewangan 024 (FY24), AmInvestment percaya gas asli cecair (LNG) akan terus menjadi penyumbang utama dengan pegangan hasil sebanyak 55%. 

 

"Namun, kami fikir pegangan ini akan menurun sebanyak 3 mata peratusan pada FY25 disebabkan pertumbuhan segmen bukan LNG. 

 

"Segmen bukan LNG dijangka membentuk 48% bahagian hasil dalam FY25, disokong oleh daya pengeluaran yang lebih tinggi daripada Wenan Steel dan Ocikumho," katanya.

 

Jelas firma itu, Ocikumho dijangka memulakan pengeluaran pada suku kedua FY25 dan Wenan Steel pada suku ketiga FY25. 

 

"Berdasarkan semakan saluran kami, kedua-duanya akan menyumbang sejumlah 1.6 juta tan metrik kepada daya pengeluaran FY25 Samalaju. 

 

"Ini akan meningkatkan kadar penggunaan Pelabuhan Samalaju kepada 45% pada FY25F (berbanding 33% pada FY23). Tambahan pula, Wenan Steel dijangka menyumbang tambahan 475,000 tan pada FY27," katanya.

 

AmInvestment juga menurunkan taraf saranan Bintulu Port Holdings Berhad daripada 'Beli' kepada 'Pegang' dengan nilai saksama (FV) sebanyak RM7.00 sesaham daripada RM7.30 sebelumnya.

 

"Kami menyederhanakan pertumbuhan terminal kami kepada 3% (berbanding 3.5% sebelumnya) berdasarkan potensi kelewatan kenaikan tarif oleh kerajaan," ujarnya.- DagangNews.com