Unjuran untung bersih Bintulu Port dinaikkan 10%, kargo LNG terus stabil - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Unjuran untung bersih Bintulu Port dinaikkan 10%, kargo LNG terus stabil - Kenanga Research

Gambar Bintulu Port Sdn Bhd
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 4 Sept - Jumlah kargo gas asli cecair (LNG) di Pelabuhan Bintulu dijangka kekal stabil dengan permintaan yang berterusan dari Jepun dan Korea Selatan serta tanda-tanda pemulihan dari China. 

 

Kenanga Research berkata, ini sejajar dengan pengoperasian medan gas Jerun dan projek pembangunan gas Kasawari yang bakal menyaksikan bekalan LNG yang stabil pada separuh kedua tahun kewangan 2024 (FY24) bagi Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB).

 

"Kami menaikkan anggaran keuntungan bersih FY24 dan FY25 BPHB masing-masing sebanyak 10% dengan andaian bekalan gas LNG yang stabil dari lapangan gas Jerun dan projek pembangunan gas Kasawari.

 

"Kami telah mengambil kira kenaikan tarif sebanyak 10% dalam tarif Pelabuhan Bintulu untuk keuntungan bersih FY25 (serta bayaran sewa konsesi yang lebih tinggi untuk tempoh konsesi yang lebih panjang) dengan kenaikan tarif sehingga 40% secara keseluruhan yang akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tempoh konsesi 30 tahun," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Petronas memulakan pengeluaran gas pertama di Medan Kasawari

 

Bintulu Port Holdings Bhd mengendalikan pelabuhan kontena terbesar di Sarawak dan Sabah, dengan kapasiti untuk mengendalikan 500,000 unit bersamaan dua puluh kaki atau TEU kontena setahun.

 

Salah satu pelabuhan yang dikendalikannya ialah Pelabuhan Bintulu menerusi Bintulu Port Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Bintulu Port Holdings. 

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, pada masa sama terdapat peningkatan dalam jumlah kargo masuk dan keluar di Pelabuhan Samalaju dari pelanggan utamanya iaitu Press Metal Aluminium Holdings Bhd dan OM Holdings Ltd. 

 

"Kami percaya pelanggan utamanya mempunyai kelebihan berbanding pesaing mereka di pasaran antarabangsa kerana produk mereka mempunyai jejak karbon rendah berikutan penggunaan tenaga hidro. 

 

"Selain itu, pada masa ini, negara-negara Barat masih mengenakan sekatan ke atas aluminium Rusia (yang menyumbang kira-kira 6% daripada pengeluaran aluminium dunia) dan oleh itu akan perlu mencari sumber bekalan aluminium alternatif. 

 

"Di pihak lain, Pelabuhan Bintulu akan memulakan perkhidmatan marin untuk bahagian metanol Sarawak Petchem dari separuh kedua tahun kewangan 2024," jelasnya.

 

Kenanga Research berkata, penubuhan Pihak Berkuasa Pelabuhan Bintulu Sarawak (BPAS) yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan Sarawak dijangka selesai menjelang akhir tahun ini. 

 

Katanya, Pelabuhan Bintulu kini berada di bawah perjanjian sewa interim sehingga Disember 2024 sementara menunggu penyerahan kawalan BPA. 

 

"Pada masa ini, Rang Undang-Undang Pembubaran Pelabuhan Bintulu 2024 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum menunggu proses pewartaan. 

 

"Pada masa yang sama, Perjanjian Operasi Pelabuhan yang baharu sedang dirangka. Operasi Pelabuhan Bintulu yang dikendalikan oleh BIPORT tidak akan terganggu semasa proses pengambilalihan pihak berkuasa pelabuhan Sarawak daripada Kerajaan Persekutuan," jelasnya.

 

Kenanga Research dalam pada itu terus menyukai BPHB dengan kod Bursa BIPORT kerana aliran pendapatan yang stabil antaranya daripada pengendalian kargo LNG untuk Malaysia LNG Sdn Bhd yang biasanya menyumbang hampir 50% daripada jumlah keuntungan.

 

Faktor lain katanya, termasuk potensi peningkatan pendapatan jika Pelabuhan Bintulu diberikan kenaikan tarif pelabuhan yang ketara dan potensi pertumbuhan yang besar bagi Pelabuhan Industri Samalaju yang disokong oleh peningkatan pelaburan dalam industri berat di Taman Industri Samalaju. 

 

"Kekalkan saranan 'Market Perform'," ujar firma penyelidikan tersebut yang menyemak naik harga sasaran (TP) Bintulu Port sebanyak 4% kepada RM6.55 sesaham.- DagangNews.com