Kenanga Group lancarkan FAW dalam usaha membanteras penipuan, rasuah dalam industri | DagangNews Skip to main content

Kenanga Group lancarkan FAW dalam usaha membanteras penipuan, rasuah dalam industri

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Nov - Kenanga Investment Bank Berhad (Kenanga Group) hari ini melancarkan Minggu Kesedaran Penipuan (FAW) tahunannya buat kali kelima yang merupakan kemuncak kepada kempen Kesedaran Penipuan secara maya.

 

Kempen kesedaran yang berlangsung selama sebulan itu, berjaya memberikan kesedaran kepada peserta dan pengiat industri selain menggalakan usaha untuk memerangi penipuan dan rasuah.  

 

Bertemakan Memperteguh Nilai Etika menerusi Kedinamikan Pengawalseliaan lebih daripada 290 wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM), Bursa Malaysia Berhad, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Kumpulan Kenanga melibatkan diri dalam kempen itu.

 

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, semua pihak perlu terus berusaha dalam membina unsur kepercayaan dan ketelusan bagi membolehkan Malaysia mencapai aspirasi menjadi sebuah negara bebas rasuah. 

 

"Dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan Kenanga Investment Bank Berhad menerusi program FAW yang dianjurkannya dalam menggalakkan kesedaran anti penipuan adalah sangat cemerlang, dan saya berasa optimis bahawa SPRM dan Kenanga dapat terus memperkukuh ikatan sedia ada dalam memerangi rasuah," katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Kenanga Investment Bank Berhad, Datuk Chay Wai Leong berkata, pihaknya gembira kerana berjaya mengembangkan kempen berkenaan sejak mula diperkenalkan lima tahun lalu dan ia menjadi asas untuk industri bertindak memerangi penipuan. 

 

"Pada masa sama, memberikan respons kepada 10 Prinsip United Nations Global Compact yang menekankan betapa perlunya perniagaan untuk bertindak menentang rasuah dalam kesemua bentuknya.  

 

"Memandangkan kami berusaha untuk terus menggabungkan kriteria ESG (Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus), kami komited untuk terus mempertingkatkan kepentingan akauntabiliti, integriti, dan tadbir urus baik serta menyeru lebih ramai orang untuk turut serta dalam peperangan menentang penipuan," katanya.-DagangNews.com