Kenanga hentikan penyelidikan, penarafan ke atas Mitra ekoran minat pelabur merosot | DagangNews Skip to main content

Kenanga hentikan penyelidikan, penarafan ke atas Mitra ekoran minat pelabur merosot

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Firma penyelidikan, Kenanga Research hari ini menghentikan liputan dan penarafannya ke atas Mitrajaya Holdings Berhad ekoran minat pelabur yang kian merosot dan prospek yang mencabar. 

 

Susulan itu, Kenanga menyemak turun saranan ke atas saham Mitra daripada ‘underperform’ kepada tiada penarafan atau ‘not rated’ dengan harga sasaran (TP) terakhir pada kadar 20.5 sen sesaham, menurut penganalisisnya, Lum Joe Shen.

 

“Buat masa ini, kami mendapati situasi semasa Mitra tidak menarik memandangkan mereka sama ada perlu untuk membida secara agresif bagi memenangi kontrak walaupun margin yang kecil atau berpotensi rugi bagi memastikan kesinambungan kerja-kerja hingga ke perbelanjaan operasi perkhidmatan atau pembiayaan.

 

“...atau jumlah pesanan pembinaannya ‘kering’ sehingga separuh kedua tahun kewangan 2022 (2HFY22) atau 1HFY23 - mengheret kumpulan untuk mencatatkan kerugian,” jelas Joe Shen dalam satu nota kajian.

 

Pada suku kedua FY21 (2QFY21), kumpulan mencatatkan keuntungan bersih utama sebanyak RM0.5 juta yang membantu mengurangkan kerugian bersih bagi sepanjang 1HFY21 kepada RM0.6 juta. 

 

Bagi Joe Shen, prestasi itu seiring unjuran kerugian FY21 firmanya sebanyak RM14.1 juta di mana Kenanga meramalkan prestasi kewangan Mitra pada 2HFY21 akan beraksi lebih lemah ekoran kerugian segmen pembinaan yang lebih tinggi.

 

Setakat ini, Mitra telah meraih beberapa kontrak pembinaan bernilai RM200 juta, di mana lebih rendah daripada unjuran RM350 juta yang diramalkan oleh Kenanga bagi FY21. 

 

“Ini menjadikan pesanan bukunya ketika ini berjumlah RM518.5 juta di mana kami melihat tidak memuaskan memandangkan kami menjangkakan hasilnya bagi 2HFY22/1HFY23 akan menyusut sekiranya Mitra tidak meraih lebih daripada sasaran pengisian kontrak kami iaitu RM350 juta setiap tahun bagi FY21 dan FY22,” tambah Joe Shen. 

 

Ketika laporan ditulis, harga saham Mitra tidak berubah pada kadar 26 sen dengan tiada dagangan saham yang bertukar tangan. - DagangNews.com