Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Nov - Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan saranan 'Outperform' ke atas saham Mr D.I.Y Group Berhad dengan harga sasaran tidak berubah pada RM4.10 sesaham.
Dalam nota penyelidikannya, Kenanga Investment berkata, Mr D.I.Y berjaya mencatatkan pendapatan sebanyak RM297 juta bagi 9 bulan pertama tahun ini, yang merupakan dalam julat anggaran yang dibuat firma itu.
"Kami menjangkakan keputusan suku keempat Mr D.I.Y akan menjadi cemerlang disokong oleh peratusan kedai yang beroperasi yang lebih tinggi dan lebih banyak pembukaan kedai untuk mencapai sasaran 175 buah untuk tahun kewangan 2021.
"Harga sasaran saham sebanyak RM4.10 dan anggaran pendapata 2022 dikekalkan pada RM707 juta kerana kami melihat kesan yang boleh diabaikan daripada cukai kemakmuran Bajet 2022," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.
PATAMI suku ketiga menyaksikan peningkatan sebanyak 30% disokong oleh garis teratas yang kukuh sebanyak RM2.4 bilion, meningkat 34% didorong oleh bilangan kedai yang meningkat 22% kepada 841 cawangan.
Kumpulan itu dilaporkan membuka 107 cawangan baharu sehingga kini atau 61% daripada kedai baharu yang disasarkannya.
Purata bakul sehingga kini adalah pada RM29 berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM26.
"Memandangkan visi produk mampu miliknya yang disasarkan kepada pelanggan, pengembangan di luar Lembah Klang telah menyaksikan pertumbuhan 9% dengan wilayah utara dan selatan menyaksikan pertumbuhan masing-masing sebanyak 26%.
"Kunci dalam kemampanan Mr. D.I.U ialah ketangkasannya dalam menawarkan pelbagai produk berkualiti pada harga berpatutan ditambah dengan fleksibiliti dalam campuran produk untuk mengekalkan jualan dan margin.
"Kami menjangkakan 4QFY21 akan menjadi cemerlang memandangkan hari operasi yang lebih tinggi disokong dengan trafik di kedai runcit berasaskan pusat beli-belah dijangka kembali normal," katanya. -DagangNews.Com