Kenanga Investors lancar bon SRI pertama di pasaran tempatan menerusi Dana Siri Kelestarian Kenanga | DagangNews Skip to main content

Kenanga Investors lancar bon SRI pertama di pasaran tempatan menerusi Dana Siri Kelestarian Kenanga

KUALA LUMPUR 5 April - Kenanga Investors Berhad melancarkan dana bon hasil tinggi bagi menawarkan pertumbuhan pendapatan dan modal menerusi pelaburan dalam Dana Indeks Bon Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Hasil Tinggi Global yang diuruskan oleh Northern Trust Asset Management.

 

Dana yang dilancarkan di bawah Siri Kelestarian Kenanga, menjejaki risiko serta pulangan ciri-ciri Indeks Hasil Tinggi ICE BofAML Global yang tertakluk kepada pengecualian ESG tertentu serta keutamaan berkaitan.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors, Ismitz Matthew De Alwis berkata, dana berkenaan adalah dana bon hasil tinggi pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) pertama di pasaran tempatan.

 

“Ia menawarkan portfolio lebih mantap kepada pelabur berdasarkan analisis ESG yang mengambil kira faktor-faktor seperti kecekapan karbon dan kualiti tadbir urus untuk mengurangkan risiko atau merebut peluang baharu selain daripada metrik kuantitatif dan kualitatif ketika penilaian.

 

"Ini adalah masa yang sesuai untuk melancarkan dana baharu memandangkan pasaran telah menetapkan harga kesan daripada jangkaan enam hingga tujuh kenaikan kadar faedah tambahan di Amerika Syarikat (AS).

 

"Secara keseluruhannya, gabungan asas yang kukuh dan pengurangan kelemahan yang wujud berbanding kelas aset risiko yang lain menjadikannya nilai tambah dan memberikan pelabur peluang untuk menikmati pendapatan tetap serta potensi peningkatan modal dalam keadaan pasaran semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dalam pada itu, De Alwis berkata prestasi bon hasil tinggi global akan ditentukan oleh tahap kewangan penerbit dan dalam aspek ini, asas-asas kredit kekal menyokong kelas-kelas aset tersebut.

 

Sejajar dengan pendekatan pelaburan mampan, dana terbabit juga memaparkan kesinambungan pelan hala tuju pelaburan Kenanga Investors yang mampan dan bertanggungjawab susulan pelancaran Dana Waqf Al-Ihsan Kenanga dan Siri Kemampanan Kenanga: Dana Frontier pada 2021.

 

Dana bon hasil tinggi itu adalah yang kedua dilancarkan di bawah siri tersebut yang merupakan rangkaian produk pelbagai kelas aset yang berteraskan pertimbangan kemampanan bagi pertumbuhan kewangan jangka panjang untuk pelabur selain menjana nilai sosial dan kewangan untuk masyarakat di sekeliling.

 

Dana itu juga sesuai bagi pelabur sofistikated dengan tempoh pelaburan jangka pertengahan dan panjang serta nilai pelaburan awal minimum sebanyak RM5,000. - DagangNews.com