KUALA LUMPUR 28 Okt. - Kenanga Investors Berhad (Kenanga Investors) mengumumkan pelancaran dana Siri Kemampanan Kenanga: Frontier Fund yang bertujuan merapatkan jurang antara pelabur runcit dengan syarikat teknologi global masa hadapan.
Dana itu bertujuan melabur dalam sekuriti ekuiti syarikat-syarikat global yang mempunyai potensi pertumbuhan jangka panjang yang mapan, hampir membuat tawaran awam awal, dan mempunyai atau akan membangunkan produk dan perkhidmatan yang berkaitan teknologi.
Ia membolehkan pelabur mendapatkan penjanaan nilai yang mapan daripada syarikat-syarikat ini, yang sebelumnya hanya tersedia secara eksklusif kepada pelabur institusi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors, Ismitz Matthew De Alwis berkata, pihaknya berhasrat untuk membentuk semula ruang ekuiti swasta di Malaysia dengan memberikan tumpuan kepada para pelabur untuk mendapatkan akses kepada peluang pelaburan dalam perniagaan permula yang terkenal.
“Sejak 2016, syarikat-syarikat digital yang pesat membangun telah mengatasi 'ekonomi lama' dengan menjadi 5 syarikat korporat paling bernilai.
"Berdasarkan perkembangan teknologi baharu, syarikat teknologi baharu semakin bercambah dan kami telah memulakan proses merapatkan jurang di antara syarikat tekemuka 'Big Tech' dengan para pelabur kami.
“Pencapaian yang terhasil sangat memuaskan hati para pelabur kami bermula daripada keperlbagaian portfolio hingga penerokaan dunia pelaburan baharu yang melewati dunia pelaburan tradisional dan permintaan terhadap penawaran yang sama telah meningkat.
"Kami berbesar hati untuk memperkenalkan dana ini kepada pasaran dan para pelabur yang dahulunya tidak berpeluang mengambil bahagian akan berpeluang melakukannya pada kali ini,” katanya.
Tumpuan dana terhadap kejayaan teknologi hadapan melambangkan perjalanan Kenanga Investors ke arah pelan pelaburan strategik yang mapan.
“Teknologi hadapan mencerminkan pelbagai peluang dalam menggalakkan keluk pembangunan masa depan, daripada penggunaan teknologi untuk mengurangkan pengeluaran karbon, penemuan perubatan baharu untuk mendorong pemerkasaan pesakit kepada pendemokrasian perkhidmatan kewangan, kemunculan teknologi hadapan akan membolehkan manfaat sosial yang lebih besar dan memacu pulangan yang mampan,” jelas De Alwis.
Tempoh penawaran dana itu adalah bermula 27 Oktober hingga 3 Disember dan ia tersedia dalam bentuk Ringgit Malaysia dan Dolaar AS.-DagangNews.com