Kenanga Investors lancarkan dana AI Islamik global baharu | DagangNews Skip to main content

Kenanga Investors lancarkan dana AI Islamik global baharu

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Kenanga Investors Bhd mengumumkan pelancaran Siri Alternatif Kenanga: Islamic Global Responsible Strategies Fund (KASIGRSF), dana borong Islam tambahan baharu kepada Siri Alternatif Kenanga pada hari ini. 

 

KASIGRSF juga merupakan dana yang mematuhi Syariah terbuka global melalui pelaburan dalam Chicago Global Responsible Strategies.

 

Dalam kenyataan media hari ini, Kenanga berkata, dana yang diuruskan oleh Chicago Global Capital Pte. Ltd. itu bertujuan untuk menyediakan pertumbuhan modal melalui pendedahan merentas ekuiti patuh Syariah dengan melabur dalam Strategi Bertanggungjawab Global Chicago.

 

"Dana itu memanfaatkan data besar termaju menentukan isyarat alfa bagi meramalkan pulangan masa depan termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti data kewangan, arah aliran pasaran, sentimen sosial dan sumber data alternatif," ujarnya.

 

Kenanga Investores turut menekankan inovasi dalam pengurusan aset Islam agak terhad sejak 20 tahun lalu dengan produk pelaburan patuh Syariah menyumbang kurang 1% dalam aset kewangan dunia.

 

Menurutnya, sebahagian besar daripada pelabur Islam kurang diberi perkhidmatan, mereka hanya terhad dengan beberapa pilihan selain daripada dana tertumpu yang aktif atau indeks Islam pasaran luas.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors, Datuk Wira Ismitz Matthew De Alwis berkata, KASIGRSF ditubuhkan bagi menangani jurang tradisional yang tidak lengkap terutamanya dalam pengendalian data.

 

"Dana ini memanfaatkan teknik pembelajaran mesin termaju untuk menawarkan pendekatan yang canggih, dipacu data dan penyelesaian pelaburan patuh Syariah untuk pelabur."

 

“Dengan memasukkan dana baharu ke dalam rangkaian produk kami, kami juga membolehkan pelabur mempelbagaikan portfolio mereka, menguruskan risiko dengan lebih berkesan dan mencapai matlamat kewangan mereka dengan pendekatan holistik," ulas beliau.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Chicago Global Capital, Ivan Chelebiev menjelaskan peranan syarikatnya dalam dana itu.

 

"Kami mengendalikan enjin penetapan harga aset terkini yang mengesahkan dan menganalisis satu bilion titik data setiap minggu, mengekstrak risikan yang boleh diambil tindakan dalam masa nyata.

 

"Melalui kaedah ini, kami dapat mengenal pasti dan menggunakan isyarat pelaburan sehingga 10 kali lebih kuat daripada kaedah konvensional," ujar beliau. - DagangNews.com