Kenanga jangkakan sektor pembinaan kekal suram pada FY22 | DagangNews Skip to main content

Kenanga jangkakan sektor pembinaan kekal suram pada FY22

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 29 Dis - Kenanga Research kekal 'Neutral' terhadap sektor pembinaan dan berpendapat prospek sektor tersebut kekal suram disebabkan oleh empat faktor utama.

 

Menurut firma itu, antara faktor tersebut adalah prospek penambahan buku pesanan yang perlahan bagi tahun kewangan 2022 (FY22), buku pesanan tertunggak yang semakin berkurangan, kos bahan binaan yang meningkat, dan kekangan buruh.

 

Namun begitu katanya, penilaian bagi saham-saham syarikat pembinaan di bawah tinjauannya telah bertahan dengan baik disebalik ketidaktentuan pasaran. 

 

"Oleh itu, kami memilih untuk kekal selektif untuk pilihan saham syarikat pembinaan dan berhati-hati bahawa mungkin masih terlalu awal untuk menggunakan pendekatan pilihan bawah asas luas untuk sektor ini. 

 

"Kami lebih suka kaunter yang mempunyai set pemangkin yang boleh diramal disokong oleh pelaksanaan yang mantap dan keupayaan mencapai sasaran pendapatan. 

 

"Kami juga lebih suka kontraktor yang lebih kecil yang mempunyai PER menarik dengan jangkaan rendah kerana sebarang kejutan menaik kepada sasaran penambahan boleh memberi kesan kepada anggaran pendapatan secara material," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Tambahnya, dengan pemulihan yang dijangka bergerak ke FY22, Kenanga menjangkakan pertumbuhan penambahan semula buku tempahan YoY. 

 

Walaupun begitu, Kenanga berkata pertumbuhan itu akan menjadi lebih sederhana dan bukannya lantunan yang kuat.

 

"Rasional kami adalah projek awam masih dihalang oleh kedudukan fiskal kerajaan yang lemah manakala aliran projek swasta dijangka kurang disebabkan keperluan ruang kerja pejabat yang dikurangkan susulan pasca pandemik dan situasi bekerja dari rumah (WFH) dan lebihan bekalan bangunan kediaman bertingkat.

 

"Disebabkan oleh kunci kira-kira kerajaan yang lebih lemah, kami menjangka pelaksanaan projek awam akan dipecahkan kepada fasa/kuantum yang lebih kecil dan juga lebih bergantung kepada kunci kira-kira kontraktor untuk pembiayaan," katanya.  -DagangNews.com