Kenanga kekal pandangan 'underperform', prospek Tan Chong Motor masih tidak menentu | DagangNews Skip to main content

Kenanga kekal pandangan 'underperform', prospek Tan Chong Motor masih tidak menentu

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 24 Nov - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'underperform' terhadap Tan Chong Motor Holdings Bhd. dengan harga sasaran pada RM1 susulan prestasi kewangan suku ketiga yang kurang memberangsangkan. 

 

Bagi suku berkenaan berakhir 30 September 2021, kerugian bersihnya melebar kepada RM44.2 juta daripada kerugian bersih RM7.33 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu memandangkan perniagaan kumpulan di Malaysia dan rantau ini terjejas dengan pelaksanaan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

 

Pendapatan kumpulan juga merosot 54.46% kepada RM439.28 juta berbanding RM964.54 juta bagi tempoh sama tahun lalu, manakala kerugian sesaham bagi suku tahunan meningkat kepada 6.78 sen daripada 1.12 sen.

 

Bagaimanapun, kerugian bersih bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 30 September 2021 mengecil kepada RM58.68 juta daripada RM95.96 juta bagi tempoh sama tahun lalu walaupun pendapatan susut 24.48% kepada RM1.67 bilion daripada RM2.21 bilion.

 

Penganalisis Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata, keputusan kewangan itu adalah di dalam jangkaan mereka kerana jualan diunjur yang lebih baik pada suku keempat berikutan pembukaan semula galeri jualan dan pengeluaran serta kebenaran rentas negeri.

 

Namun, katanya, di sebalik pelancaran Nissan Almera serba baharu pada November tahun lalu, keseluruhan jualan masih kekal lemah dengan hanya 1 model sahaja yang menjadi pemacu kumpulan.

 

"Oleh itu, keadaan ketika ini dilihat masih tidak menentu sama ada ia akan menjadi pemangkin baharu yang diperlukan untuk Tan Chong Motor kembali mencatat keuntungan. 

 

"Pada masa sama, untuk mengimbangi kesan negatif daripada kilang di Danang, Vietnam yang kurang digunakan dan tamat tempoh perjanjian bagi model diimport sepenuhnya (CBU) dan pemasangan tempatan (CKD) secara prinsipalnya masing-masing pada 30 September 2020 dan 19 September 2020," katanya.   

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, Tan Chong Motor berharap, pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dijangka terus memanfaatkan industri automotif pada separuh pertama 2022.

 

Setakat 9.21 pagi ini, harga saham Tan Chong Motor susut 1 sen atau 0.86% kepada RM1.15 dengan 3,000 saham diniagakan. - DagangNews.com