Kenanga positif cadangan Alliance Bank lupuskan perniagaan pembrokeran saham | DagangNews Skip to main content

Kenanga positif cadangan Alliance Bank lupuskan perniagaan pembrokeran saham

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Dis - Kenanga Investment Bank Bhd positif dengan cadangan pelupusan perniagaan pembrokeran saham Alliance Bank Malaysia Bhd (Alliance) kepada Philip Futues Sdn Bhd kerana menurutnya dana yang diperoleh akan membantu kumpulan dengan strategi pertumbuhan yang telah digariskan terutamanya dalam ruang perusahaan kecil sederhana (PKS) 

 

Menurut firma penganalisis itu, kehadiran kumpulan perbankan itu dalam ruang pembrokeran saham agak tidak signifikan berbanding syarikat perbankan lain, oleh itu adalah wajar bagi Alliance untuk menumpukan perhatiannya kepada aliran perniagaan dengan pulangan yang lebih tinggi.

 

"Menurut Kedudukan Broker Bursa Malaysia bagi Nov 2021, Alliance tidak tersenarai dalam kedudukan 15 teratas bagi nilai dagangan bulan itu kerana sumbangannya yang sedikit.

 

"Memandangkan bahagian pasaran kumpulan dalam aktiviti pembrokeran saham adalah tidak penting berbanding rakan perbankan yang lain, kami tidak fikir ini akan menjejaskan prospeknya dalam apa cara sekalipun. 

 

"Walau bagaimanapun, dana yang diperoleh boleh membantu mempercepatkan strategi pertumbuhannya untuk perniagaan teras. Kami membiarkan andaian kami tidak berubah buat masa ini dan mengekalkan harga sasaran saham sebanyak RM2.65 sesaham," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Pada 2 Disember 2021, Alliance memeterai perjanjian jual beli perniagaan bersyarat dengan Philip Futures untuk melupuskan perniagaan pembrokeran sahamnya.

 

Jumlah pertimbangan bagi Cadangan Pelupusan itu bagaimanapun masih belum ditentukan.

 

"Cadangan Pelupusan itu akan membolehkan kumpulan itu mengutamakan semula perniagaannya untuk mempercepatkan pertumbuhan perniagaan pengguna, PKS dan perbankan Islam pada masa hadapan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'Market Perform' dengan harga sasaran sebanyak RM2.65," katanya.

 

Risiko kepada panggilan tersebut termasuk margin serta pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi atau lebih rendah daripada jangkaan, kemerosotan kualiti aset yang , peningkatan atau kelembapan dalam aktiviti pasaran modal, turun naik mata wang dan perubahan kepada OPR. -DagangNews.com