KUALA LUMPUR 9 Nov - Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih sekuriti hutang Malaysia untuk bulan kedua berturut-turut pada Oktober sebanyak RM6.3 bilion, mencatatkan aliran keluar portfolio asing tertinggi dalam tempoh 32 bulan.
Pada bulan tersebut, pegangan hutang asing susut kepada RM248.7 bilion berbanding September sebanyak RM254.9 bilion, dengan bahagiannya kepada jumlah hutang terkumpul turun ke paras terendah 25 bulan pada 13.4%.
Kenanga Research berkata, penjualan asing bagi bon Malaysia bertambah buruk ekoran risiko politik domestik meningkat dengan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu dan apabila pengelakan risiko global berterusan disebabkan jangkaan kenaikan kadar faedah secara besar-besaran oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) pada November.
"Bon domestik menjadi semakin kurang menarik apabila sebaran hasil terhadap Perbendaharaan AS mengecil dengan ketara.
"Aliran keluar itu berpunca daripada penjualan menyeluruh bon kerajaan, diterajui oleh Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII)," katanya dalam laporan aliran dana hari ini.
Bagi pasaran ekuiti, pelabur asing kekal sebagai penjual bersih untuk bulan kedua berturut-turut pada Oktober 2022.
Secara keseluruhan, pasaran modal merekodkan aliran keluar paling tinggi sejak Mac 2020 sebanyak RM6.9 bilion pada Oktober 2022 berbanding RM2.1 bilion pada bulan sebelumnya.
Menurut Kenanga Research, pasaran hutang mungkin menyaksikan pengaliran keluar selanjutnya dalam jangka masa terdekat tetapi boleh terhenti seketika untuk penyelesaian pentadbiran yang lancar selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Purata hasil Perbendaharaan AS 10 tahun melonjak sebanyak 54 mata asas kepada 4.03% pada Oktober, manakala hasil purata MGS 10 tahun meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 4.42%, mengecilkan sebaran hasil purata ke paras terendah sejak April 2010.
"Permintaan asing untuk bon Malaysia berkemungkinan akan terus tertekan dalam jangka masa terdekat, berikutan penghindaran risiko global yang berterusan dan ketidaktentuan politik domestik yang semakin meningkat.
"Aliran keluar bon mungkin berkurangan berikutan resolusi PRU15 pada 19 November ini, tetapi ia bergantung kepada pembentukan kerajaan yang pantas dan mengelakkan Parlimen tergantung," jelasnya.
Namun, firma itu berkata, aliran masuk asing mungkin tidak kembali sehingga sentimen risiko global bertambah baik dengan ketara, dan ia bergantung pada kenaikan kadar Fed AS yang dihentikan sementara.
"Oleh itu, kami masih menjangkakan kebanyakan bank pusat utama melengkapkan kitaran pengetatan mereka menjelang suku kedua 2023, yang boleh mencetuskan pulangan sentimen risiko global dan pemulihan kukuh dalam aliran bon," katanya.
Kenanga Research bagaimanapun menjangkakan kebarangkan 50% bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan lagi 25 mata asas kadar dasar semalaman (OPR) pada Januari 2023, mengehadkan kitaran pengetatan dasar monetarinya.
"Ini memandangkan prospek kemelesetan di AS dan Kawasan Euro, pertumbuhan lebih perlahan di China, dan jangkaan pertumbuhan domestik yang lebih perlahan pada tahun depan," jelasnya. - DagangNews.com