Kenanga Research jangka Affin Bank tidak akan terlibat dengan pengurusan aset selama 18 bulan | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka Affin Bank tidak akan terlibat dengan pengurusan aset selama 18 bulan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Julai - Kenanga Research mengunjurkan penjualan Affin Hwang Asset Management Berhad (AHAM) akan memberikan pegangan tunai sebanyak RM1.43 bilion kepada Affin Bank Berhad dan dijangka disempurnakan pada akhir Julai 2022.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu menjangkakan bahawa dengan suntikan modal mampu meransang unit perbankan kumpulan dan menambah pendapatan faedah bersih (NII) sebanyak RM190 juta (+11% kepada anggaran semasa) dalam tempoh dua tahun.

 

Firma itu berkata, disebabkan perjanjian itu, Affin Bank tidak akan terlibat dengan sebarang usaha pengurusan aset baharu selama 18 bulan selepas jualan.

 

"Kumpulan itu akan memastikan sasaran modal kerja dipenuhi secukupnya sebelum ia mempertimbangkan pemberian dividen khas.

 

"Daripada hasil RM1.54 bilion itu, kami menganggarkan pembayaran sebanyak 25% kepada pemegang saham, ini boleh diterjemahkan kepada c.18.0 sen dalam dividen khas atau 9% hasil sambil mengekalkan tahap CET-1 pada c.15.8%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pelupusan kepentingan dalam AXA Affin Life dan kerjasama dengan MPI Generali (dijangka siap akhir Ogos 2022) akan menyediakan tambahan tunai RM155 juta sementara masih memperoleh pendapatan sebagai syarikat bersekutu.

 

Katanya, integrasi operasi kerjasama itu dijangka bermula pada 1QFY23 dan selepas penggabungan itu, premium bertulis kasar dijangka berjumlah RM2 bilion di belakang peneraju, Allianz dengan RM2.35 bilion.

 

"Mungkin akan berlaku pertumbuhan serampang dua mata yang dinikmati dengan penawaran produk baharu selain sinergi operasi daripada entiti yang digabungkan, meningkatkan sumbangan keseluruhan segmen untuk mengatasi 5% pendapatan kumpulan pada masa akan datang," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.45.- DagangNews.com