Kenanga Research jangka berlaku peningkatan harga jualan purata produk plastik bagi menampung kenaikan harga resin | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka berlaku peningkatan harga jualan purata produk plastik bagi menampung kenaikan harga resin

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 April - Kenanga Research menjangkakan peningkatan harga jualan purata (ASP) untuk barangan plastik akibat kenaikan harga resin bagi membolehkan pemain industri dalam segmen itu mengekalkan margin pendapatan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemain industri plastik yang menggunakan strategi perniagaan kepada perniagaan (B2B) akan lebih mudah menyerap kenaikan kos manakala mereka yang menggunakan strategi perniagaan kepada pengguna (B2C) akan berdepan sedikit kesukaran untuk menyesuaikan ASP kerana terikat dengan kontrak.

 

"Kami menjangkakan kenaikan tahun ke tahun untuk ASP antara 5% hingga 10% untuk CY22," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Sebelum ini, firma penyelidikan itu berkata, kenaikan harga plastik didorong oleh kenaikan harga resin akibat gangguan logistik global dan masalah elektrik di China tetapi menunjurkan penurunan harga resin pada 2QCY22.

 

Katanya, krisis luar jangka Rusia-Ukraine menyebabkan kenaikan harga minyak mentah selain gangguan rantaian bekalan global menyebabkan resin meningkat.

 

"Harga resin melepasi harga puncak antara 2% hingga 7% berbanding Mac 2021 akibat bencana alam dan menyebabkan pengeluaraan petrokimia terpaksa dihentikan.

 

"Kami menjangkakan harga resin akan kekal tinggi sehingga 1HCY22 akibat perkara yang dinyatakan selain terdapat selang masa antara harga minyak mentah dan pergerakan harga resin

 

"Bagi CY22 kami menaikkan unjuran harga resin daripada AS$1,100 (RM4,642) kepada AS$1,350 (RM5,697) untuk satu tan berbanding CY21 iaitu antara AS$1,100 (RM4,642) hingga AS$1,250 (RM5,275) bagi setiap tan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan, perkembangan perniagaan mereka akan menjadi lebih baik dengan isu kekurangan tenaga pekerja akan selesai pada 2HCY22 selepas kerajaan mengumumkan pembukaan semula sempadan bagi membantu pemain industri meningkatkan operasi mereka. 

 

"Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati dengan margin pendapatan pemain industri plastik selepas mengambil kira kenaikan kos pengeluaran akibat kenaikan harga bahan mentah dan kos operasi yang tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu selepas mengambil kira permintaan yang kurang untuk produk plastik, kenaikan harga resin lebih tinggi daripada jangkaan, kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos operasi dan risiko pertukaran wang asing," katanya. - DagangNews.com