Kenanga Research jangka Inari Amertron catat perkembangan positif bagi 4QFY22 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka Inari Amertron catat perkembangan positif bagi 4QFY22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Jun - Kenanga Research menjangkakan Inari Amertron Berhad akan mencatatkan perkembangan positif pada 4QFY22 selaras dengan jangkaan kumpulan bagi mengakhiri FY22.

 

Firma itu berkata, selepas memahami keperluan untuk mempelbagaikan pendapatan mereka selain daripada telefon pintar (65% pendapatan kumpulan), Inari berjaya mendapatkan dua pelanggan baharu (berkaitan modul tenaga dan automotif) menerusi segmen sistem-pada-modul (SOM) selain berpotensi untuk mendapatkan pelanggan ketiga.

 

"Kumpulan itu juga menerima projek baharu untuk pemasangan LED berkuasa tinggi yang akan bermula pada penghujung 2022 dengan pelanggan terbabit akan berpindah dari China.

 

"Selain itu Inari turut menerima Permohonan Sebut Harga (RFQ) pada April daripada pelanggan AS berkaitan produk cip memori dan akan memulakan pembuatan sampel pada Jun 2022 diikuti pemberian projek pada Ogos 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan peningkatan 10% untung bersih untuk suku ketiga berakhir 31 Mac 2022 kepada RM90.48 juta berbanding RM81.95 juta pada suku sama tahun lalu disumbangkan peningkatan pendapatan dalam semua segmen.

 

Pendapatan untuk suku berkenaan juga meningkat sebanyak 5% kepada RM360.34 juta berbanding RM342.93 juta pada tahun sebelumnya.

 

Operasi di Malaysia menyumbangkan pendapatan lebih tinggi iaitu RM25.06 juta iaitu peningkatan 8% daripada RM23.1 juta tahun lalu manakala operasi di Singapura mencatatkan peningkatan 3% kepada RM302.18 juta berbanding RM291.99 juta.

 

Firma itu berkata, terdapat laporan menyatakan pengeluar telefon pintar Amerika Syarikat (AS) mahu memastikan bekalan sentiasa stabil walaupun berdepan gangguan rantaian bekalan akibat kawalan pergerakan di China.

 

"Kami melihat perkar aitu sebagai petanda positif dan firma seperti International Data Corporation (IDC) menjangkakan penurunan 3.5% terhadap pasaran telefon pintar global untuk tahun 2022," katanya.

 

Firma itu kekal dengan sasaran 'outperform' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM3.30. - DagangNews.com