KUALA LUMPUR 23 Mac - Kenanga Research menjangkakan jualan kenderaan atau jumlah keseluruhan industri (TIV) melonjak pada Mac 2022 mengatasi Februari 2022 selepas mengambil kira tempoh masa bekerja lebih panjang.
TIV untuk Februari adalah 43,722 unit (+8% bulan ke bulan, 1% tahun ke tahun) dengan syarikat meningkatkan pengeluaran kenderaan bagi memenuhi tempahan tertunggak sebelum pengecualian cukai perkhidmatan (SST) tamat pada hujung Jun 2022.
"Secara keseluruhan, kekurangan bekalan cip masih mengganggu pengeluaran sesetengah model kenderaan dan pembuat kenderaan memberi tumpuan kepada model-model popular bagi memenuhi tempahan yang tertunggak hampir enam bulan.
"TIV untuk Mac 2022 dijangka memintas jualan Februari 2022 dan syarikat yang tahun kewangannya berakhir pada 31 Mac akan berusaha sebaik mungkin untuk meningkatkan jualan mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, Proton merupakan syarikat terbaik apabila berjaya mencatatkan jualan sebanyak 4,605 unit dengan 45% daripadanya disumbangkan oleh model X70 dan X50 manakala baki selebihnya disokong oleh jualan Persona, Iriz, Exora dan Saga.
Katanya, Toyota juga menunjukkan angka jualan positif menerusi model Vios, Yaris dan Hilux manakala Honda turut menunjukkan perkembangan positif menerusi jualanCity baharu dan City Hatchback.
"MyVi baharu yang dilancarkan pada 18 November 2021 merupakan model terlaris untuk Perodua dan disokong oleh penjualan Axia, Bezza, and ARUZ and Ativa yang menyumbang 22% daripada jumlah 3,920 unit yang terjual," katanya.
Firma penyelidikan itu bagaimanapun kekal 'neutral' dengan sasaran TIV sebanyak 600,000 unit selepas memgambil kira pembukaan semula aktiviti ekonomi, pengecualian SST untuk kenderaan pemasangan tempatan CKB dan 50% untuk import sepenuhnya (CBU) untuk enam bulan sehingga Jun 2022.
"Kami menjangkakan pemulihan jualan yang memberangsangkan terutama selepas mengambil kira tempahan tertunggak yang terdiri daripada model-model popular dan pelancaran model kenderaan baharu pada 2022," katanya. - DagangNews.com