Kenanga Research jangka kadar pengangguran di Malaysia menurun ke paras 3.9% pada 2022 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka kadar pengangguran di Malaysia menurun ke paras 3.9% pada 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mac - Kenanga Research menjangkakan kadar pengangguran di Malaysia akan menurun kepada 3.9% pada tahun 2022 berbanding 4.6% pada tahun 2021 selepas mengambil kira pembukaan semula sempadan negara yang akan memacu kepesatan ekonomi negara.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pasaran tenaga kerja di Malaysia akan pulih meskipun agak perlahan ekoran kadar pemberian vaksin selain booster yang tinggi dalam kalangan masyarakat selain usaha kerajaan menerusi Program JaminKerja yang menyasarkan untuk mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan tahun ini.

 

"Bagaimanapun kadar pemulihan itu akan berdepan sedikit cabaran dengan peningkatan kes COVID-19 akibat gelombang varian Omicron selain banjir di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

 

"Selain itu, krisis berterusan Rusia-Ukraine dijangka melemahkan pemulihan pertumbuhan melalui gangguan permintaan dan rantaian bekalan di tengah-tengah kenaikan harga komoditi yang tinggi," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Terdapat peningkatan tenaga kerja di Malaysia sebanyak 0.2% dan menjadikan jumlah keseluruhan tenaga kerja seramai 16.37 juta berbanding 16.34 juta pada Disember 2021 manakala sebanyak 37,500 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan pada Januari 2022 namun ia adalah terendah dalam tempoh enam bulan.

 

BACA JUGA: Bilangan penganggur di Malaysia semakin berkurangan

 

Dalam pada itu, MIDF Research berkata, pasaran tenaga kerja di Malaysia berjaya mencatatkan peningkatan sebanyak 2.9% dari tahun ke tahun dan ia merupakan peningkatan terbesar sejak Jun 2021 namun kadar pengangguran masih kekal pada paras 4.2%.

 

kerja

 

Katanya, peningkatan perbelanjaan domestik serta permintaan luar yang tinggi selain peningkatan harga komoditi adalah antara fator yang menyokong pemulihan pasaran tenaga kerja.

 

"Kami menjangkakan keadaan pasaran tenaga kerja akan menjadi lebih baik pada 2HCY22 dengan sempadan antarabangsa akan dibuka semula pada 1 April 2022 dan tenaga kerja asing akan kembali selepas lebih 100,000 pekerja meninggalkan pasaran pekerjaan semasa musim pandemik.

 

kerja

 

"Malaysia akan terus mencatatkan pemulihan yang stabil berdasarkan kepada peningkatan yang stabil dalam pasaran pekerjaan dan selain pembukaan semula sempadan antarabangsa, negara ini mempunyai asas makro yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan ekonomi pada tahun 2022," katanya. - DagangNews.com