Kenanga Research jangka masalah bekalan cip sukarkan pengeluar kenderaan penuhi tempahan tertunggak | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka masalah bekalan cip sukarkan pengeluar kenderaan penuhi tempahan tertunggak

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 April - Kenanga Research menjangkakan masalah kekurangan cip menyukarkan pembuat kenderaan untuk memaksimakan pengeluaran kenderaan bagi memenuhi permintaan untuk sesetengah model yang tertangguh hampir enam bulan.

 

Bagaimanapun, bagi model tertentu, pemulihan pengeluaran kereta berdepan kesukaran akibat kekangan global yang berterusan bagi bekalan cip. 

 

"Kebanyak pembuat kenderaan memberikan keutamaan penggunaan cip kepada model kenderaan popular dan lebih banyak memberikan keuntungan seperti trak, SUV dan kenderaan mewah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, menjangkakan 2QCY22 akan menghasilkan keputusan positif dengan kebanyakan pembuat kenderaan berusaha untuk memenuhi permintaan tertunggak sebelum berakhirnya tempoh pengecualian cukai jualan (SST) pada Jun 2022 bagi mengelakkan pembatalan tempahan.

 

Pada masa sama, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sudah mengemukakan cadangan agar tempoh pengecualian SST itu dilanjutkan hingga hujung 2022.

 

Dalam pada itu, pengumuman bantuan kerajaan berjaya memulihkan keyakikan pengguna untuk tahun ini terutama pengecualian SST sehingga Jun 2022 dan lanjutan tempoh moratorium.

 

Langkah berkenaan menghalang pendapatan isi rumah daripada terus terjejas selain megharapkan prospek pekerjaan yang lebih baik.

 

"Secara keseluruhan, kadar kelulusan pinjaman kenderaan berada pada kadar 56.3% dan kadar pengangguran juga menurun kepada 4.2% pada Januari 2022 berbanding 4.9% pada Januari 2021," katanya.

 

Firma penyelidikan itu kekal dengan saranan 'neutral' bagi sektor itu selain mengekalkan unjuran jualan kenderaan atau jualan keseluruhan industri (TIV) untuk 2022 sebanyak 600,000 unit selaras dengan sasaran MAA. - DagangNews.com