Kenanga Research jangka pembaharuan sistem penjagaan kesihatan kembali dibentangkan | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka pembaharuan sistem penjagaan kesihatan kembali dibentangkan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Julai - Kenanga Research menjangkakan pembaharuan sistem penjagaan kesihatan dalam bentuk skim penjagaan kesihatan nasional akan kembali dibentangkan semula dengan andaian keputusan mesra pasaran daripada Pilihan Raya Negeri.

 

Firma itu berkata, masa semakin suntuk untuk membaik pulih sistem penjagaan kesihatan dengan hospital awam dipenuhi pesakit dan barisan menunggu yang panjang di wad kecemasan selain memastikan memastikan liputan penjagaan kesihatan untuk semua rakyat Malaysia.

 

“Kami percaya penyedia penjagaan kesihatan swasta, iaitu, IHH Healthcare Berhad (Outperform; TP: RM7.00) dan KPJ Healthcare Berhad (Outperform; TP: RM1.50) akan menjadi penermia manfaat yang jelas sekiranya skim insurans penjagaan kesihatan nasional diperkenalkan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, sistem insurans penjagaan kesihatan yang diperbaharui boleh membawa kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan keseluruhan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, mengurangkan perbelanjaan, mengurangkan masa menunggu dan meningkatkan akses kepada ubat dan teknologi yang lebih moden.

 

Selain itu, ia juga akan membolehkan rawatan, ubat dan terapi baharu disediakan untuk pesakit di hospital kerajaan.

 

"Sistem ini boleh melibatkan susunan pembayar tunggal, berbilang pembekal, di mana hospital awam dan swasta akan menyediakan kemudahan dan fungsi yang sama kepada pesakit (berbanding sistem berbilang pembekal berbilang pembayar semasa).

 

"Secara dasarnya semua pihak harus membuat sumbangan," katanya.

 

Secara teorinya, firma itu berkata, semua rakyat yang bekerja diwajibkan untuk mengetepikan sebahagian daripada pendapatan mereka ke dalam dana yang boleh digunakan untuk membayar bil perubatan mereka sendiri apabila perlu.

 

“Selain daripada menjadi penerima manfaat yang berpotensi untuk membaik pulih sistem penjagaan kesihatan tempatan, kami terus menyukai penyedia penjagaan kesihatan swasta seperti IHH dan KPJ kerana kuasa penetapan harga mereka, populasi yang semakin tua dan kemewahan yang semakin meningkat.

 

"Kami juga menyukai IHH dan KPJ untuk kedudukan pasaran mereka, IHH dengan kehadiran di Malaysia, Singapura, Turkiye dan China, manakala KPJ mempunyai rangkaian terbesar 28 hospital swasta di Malaysia (berbanding 16 IHH)," katanya. - DagangNews.com