KUALA LUMPUR 3 Feb - Kenanga Research menjangkakan pendapatan IHH Healthcare Berhad bagi setiap pesakit berkembang antara 10% hingga 15% pada 2023 berbanding 10% hingga 20% pada 2022.
Firma itu berkata, pertumbuhan daya pengeluaran pesakit dalam adalah sebanyak 10% hingga 15% (berbanding anggaran 12% hingga 25% pada 2022) dan kadar penghunian katil (BOR) antara 60% hingga 73% (berbanding anggaran 56% hingga 70%% pada 2022) untuk hospitalnya di Malaysia, Singapura, India dan Turkiye.
"Kami percaya pertumbuhan utama untuk pesakit dan BOR adalah disebabkan kebenaran menjalankan pembedahan elektif dan pelancongan perubatan, penambahan katil baharu (sebelum ini dikekang oleh kekurangan kakitangan) dan sumbangan setahun penuh pertama daripada hospital Acibadem Atasehir," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, Acibadem Healthcare Group, anak syarikat IHH Healthcare, mengambil alih 100% pegangan dalam Kent Health Group, penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta di Izmir, Turkiye.
Kent yang diasaskan pada 2004, mengendalikan hospital swasta terbesar di Izmir – Kent Hospital dengan 340 katil dan pusat kanser – serta dua pusat perubatan di bandar itu.
Firma itu menyukai kumpulan berkenaan kerana kuasa penentuan harganya selain permintaan penjagaan kesihatan yang tidak anjal memberikannya keupayaan untuk mengatasi kos di walaupun berdepan peningkatan inflasi.
Katanya, pemulihan kukuh dalam pemprosesan pesakit, dari pasaran domestik dan antarabangsa apabila wabak itu berakhir.
"Kedudukan pasarannya yang menguasai dalam ruang penjagaan kesihatan swasta dengan kehadiran di Malaysia, Singapura, Turkiye dan China," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM7.20 sesaham.
Firma itu bagaimanapun berkata, kumpulan itu berdepan beberapa risiko operasi termasuk risiko kawal selia, risiko berkaitan operasi di luar negara dan kekurangan kekurangan kemahuan politik bagi melancarkan skim insurans kesihatan nasional. - DagangNews.com