Kenanga Research jangka peningkatan jualan Takaful Malaysia dibayangi kadar tuntutan lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka peningkatan jualan Takaful Malaysia dibayangi kadar tuntutan lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mei - Kenanga Research menjangkakan pemulihan ekonomi akan membantu meningkatkan kadar jualan fizikal produk Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad namun pada masa sama akan dibayangi dengan kadar tuntutan yang lebih tinggi yang akan memberi impak negatif terhadap pendapatan kumpulan.

 

Firma itu berkata, pembukaan semula aktiviti ekonomi membolehkan kumpulan membuat jualan lebih agresif dalam semua saluran perniagaannya selain mewujudkan platform jualan digital bagi memudahkan urusan ejen dan pelanggan mereka.

 

"Bagaimanapun, pemulihan semula aktiviti ekonomi membawa maksud kadar insiden akan kembali normal dan difahamkan keadaan itu akan menjadikan nisbah tuntutan menjadi lebih tinggi dan memberi kesan berganda kepada pendapatan kumpulan ditambah dengan aktiviti dagangan yang lemah.

 

"Kami juga melihat kumpulan itu akan mengalami keadaan pembanyaraan premium lebih rendah untuk produk taja jamin selain peningkatan tuntutan melebihi jangkaan.

 

"Pada masa sama, kumpulan itu juga akan berdepan risiko kenaikan nisbah pengurusan melebihi jangkaan dan gelombang berikutnya untuk pandemik COVID-19," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Terdahulu, untung bersih Takaful Malaysia susut kepada RM86.77 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 daripada RM101.14 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

Syarikat insurans itu berkata ia merekodkan hasil operasi sebanyak RM997.4 juta pada  suku itu, meningkat 9% berbanding RM915.5 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Pada suku tersebut, ia berkata caruman pendapatan kasar yang dijana perniagaan takaful keluarga meningkat sebanyak 11% tahun ke tahun kepada RM531.4 juta terutamanya disebabkan oleh jualan yang lebih tinggi daripada produk berkaitan kredit.

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY22E dan FY23E namun bimbang terhadap Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) yang akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2023.

 

Pelaksanaan MFRS 17 itu akan mendorong kepada penurunan paras kewangan sebanyak 30% hingga 45%, penurunan keuntungan teras bersih antara 15% hingga 20% dan sasaran pulangan ekuiti (ROE) juga menurun sehingga 25% daripada 18%.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM4.25 berbanding RM5.35. - DagangNews.com