Kenanga Research jangka projek MRT3, tebatan banjir di 3 negeri dipercepat sekiranya keputusan PRN mesra pasaran | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka projek MRT3, tebatan banjir di 3 negeri dipercepat sekiranya keputusan PRN mesra pasaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Kenanga Research menjangkakan projek MRT3 dan enam projek tebatan banjir di tiga negeri akan dipercepatkan sekiranya keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos 2023 mesra pasaran.

 

Firma penyelidikan itu berkata, projek tebatan banjir itu melibatkan kerja-kerja Sungai Johor (Johor), pembinaan takungan dwi-fungsi Sungai Klang-Sungai Rasau (Selangor) dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3 (Kelantan).

 

Difahamkan bahawa MRT Corp. sudah meminta persetujuan daripada petender pakej kerja MRT3 untuk melanjutkan tempoh sah tawaran mereka selama tiga bulan kepada 30 September 2023 (dari 30 Jun 2023).

 

Ini menunjukkan bahawa syarikat sedang giat melaksanakan projek itu, walaupun ia perlu menjalankan penelitian yang lebih terhadap reka bentuk, spesifikasi, penjajaran dan mekanisme pembiayaannya.

 

Katanya, kerajaan juga bersetuju membiayai cadangan LRT Pulau Pinang sebagai balasan projek Pulau Pinang Selatan (PSI) dikecilkan.

 

"Kami percaya ini adalah positif kepada sektor ini kerana projek itu berpotensi untuk beroperasi lebih awal kerana ia tidak lagi dikekang oleh ketersediaan keuntungan dan aliran tunai daripada PSI," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan prospek pendapatan yang lebih baik untuk sektor pembinaan pada tahun ini didorong beberapa faktor seperti kehadiran semula pekerja asing secara berperingkat bagi mengurangkan masalah kekurangan tenaga kerja.

 

Selain itu, katanya, harga logam asas yang lebih rendah seperti keluli dan aluminium, bersama-sama dengan bahan binaan utama lain seperti diesel dan bitumen disebabkan harga minyak yang lebih lemah, akan mengurangkan kos secara positif.

 

"Kebanyakan kontrak baharu yang sedang dalam rundingan akan menggabungkan harga terkini yang lebih tinggi dan termasuk peruntukan untuk variasi harga untuk melindungi margin sekiranya berlaku perubahan ketara dalam harga bahan mentah.

 

"Margin keuntungan keseluruhan akan bertambah baik secara beransur-ansur apabila projek margin rendah dihentikan secara berperingkat dan digantikan dengan projek baharu yang diselaraskan untuk kos input yang lebih tinggi," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor itu.- DagangNews.com