Kenanga Research jangka segmen penerbangan libatkan perniagaan, hiburan terus meningkat menjelang 2024 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka segmen penerbangan libatkan perniagaan, hiburan terus meningkat menjelang 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Jun - Kenaga Research menjangkakan segmen penerbangan melibatkan perniagaan serta hiburan akan terus meningkat dengan dilihat kembali ke tahap pra pandemik menjelang 2024.

 

Menurut Tourism Malaysia, ketibaan pelancong di Malaysia dijangka melonjak 60% kepada 16 juta pada tahun ini berbanding anggaran 10 juta pada tahun sebelumnya. 

 

Firma itu berkata, kehadiran pelancong China adalah pemacu utama yang sebelum ini dilihat menyumbang kepada anggaran 12% daripada jumlah ketibaan pelancong di Malaysia.

 

"Pada tahun hadapan kami mengunjurkan ketibaan pelancong melonjak sebanyak 24% kepada 20 juta namun ia masih rendah berbanding 26 juta sebelum pra pandemik.

 

"Peningkatan itu disokong oleh kehadiran pelancong menerusi Malaysia Airports Holdings Berhad pada tahun ini

 

"Keadaan itu mengukuhkan trajektori pertumbuhan trafik ialah pergerakan pesawat yang menghala ke arah peningkatan penerbangan jarak sederhana dan jauh ke destinasi Perth, Sydney dan Auckland, Asia Tenggara dan Asia Selatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyaksikan kehadiran semuka Kuwait Airways selepas tujuh tahun, manakala dua lagi syarikat penerbangan asing iaitu KLM Royal Dutch Airlines dan All Nippon Airways, masing-masing akan meneruskan operasi penerbangan tanpa henti ke Amsterdam dan Tokyo, selepas menghentikan sementara operasi kerana kepada pandemik COVID-19.

 

Katanya, Malaysia Airlines telah meningkatkan kekerapan penerbangannya ke Tokyo mulai November 2022.

 

"Sementara itu, Kumpulan AirAsia menumpukan pada operasi jarak sederhananya dengan meningkatkan penerbangan Malaysia AirAsia X kepada 44 mingguan merentasi 10 laluan mulai November 2022.

 

Firma itu menjangkakan, penumpang Capital A Berhad terus meningkat menjelang 2023, berdasarkan faktor muatan yang menggalakkan yang direkodkan di 159 laluan antarabangsa selain mereka telah mengaktifkan semula 157 pesawat pada suku pertama 2023 dengan rancangan sedia ada untuk mengagihkan semula pesawat ke negara yang beroperasi yang mempunyai permintaan yang lebih kukuh.

 

Katanya, menjelang akhir 2023, kumpulan itu menyasarkan untuk menempatkan kesemua 215 pesawatnya untuk menampung permintaan yang semakin meningkat.

 

"Segmen digitalnya bagaimanapun dijangka terus mencatatkan kerugian.

 

"airasia Super App dijangka berkembang, disokong oleh peningkatan berterusan permintaan perjalanan daripada pembukaan semula sempadan dan kempen taktikal, di samping jangkaan pertumbuhan daripada airasia Food, Ride dan Xpress," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' untuk segmen penerbangan. - DagangNews.com