Kenanga Research kagum operasi hospital IHH Healthcare di Turkiye | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research kagum operasi hospital IHH Healthcare di Turkiye

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - Kenanga Research mengakui kagum dengan operasi hospital milik IHH Healthcare Berhad di Tukiye yang dilengkapi peralatan perubatan yang canggih dan suasana hotel lima bintang.

 

Katanya, jenama Acibadem IHH telah menetapkan penanda aras bagi kecemerlangan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta di Turkiye dan Eropah Tengah dan Timur.

 

Hospital Acibadem Atasehir yang merupakan pelaburan baharu IHH merupakan hospital ke-18 Kumpulan itu di Turkiye dan hospital ke-24 pada skala global.

 

"Hospital Acibadem Atasehir dibezakan dengan pakar perubatan khusus dan berpengalaman, peranti canggih yang digunakan untuk diagnosis dan rawatan serta pusat kawalan yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur digital bagi pengurusan hospital dan status Hospital 'Mesra Alam' dengan sijil Leed Gold.

 

"Ia mempunyai kawasan binaan dalaman seluas 65,000 meter persegi dengan kapasiti 300 katil yang terletak bersebelahan dengan ibu pejabat Acibadem Holding dan mula beroperasi pada September 2022. 

 

"Hospital ini mempunyai 53 katil pemerhatian, termasuk 12 di Unit Pemerhatian Kecemasan, 13 Endoskopi mernagkumi katil pemerhatian angiografi, enam di Unit Pemerhatian Pediatrik, lima di Unit IVF dan 15 katil pemerhatian pelbagai disiplin," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu bertujuan menjadikan pelancongan perubatan mudah dan boleh dipercayai bagi pesakit antarabangsa yang melawat Turkiye setiap tahun.

 

Katanya, dari saat pesakit tiba di Lapangan Terbang Istanbul sehingga mereka pulang ke negara asal kerana pasukan Acibadem akan sentiasa membantu mereka.

 

"Kebanyakan doktor (lebih 95%) atau pengamal perubatan di hospital Acibadem dikontrak di bawah formula perkongsian hasil dan selebihnya bekerja di bawah perjanjian sepenuh atau separuh masa yang menerima gaji tetap atau bahagian hasil dan sebahagian gaji," katanya.

 

Kenanga Researh mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran RM7.00 sesaham.

 

Firma itu menyukai IHH kerana prospek cerah sektor penjagaan kesihatan swasta di Malaysia yang disokong oleh peningkatan kemewahan dan penduduk yang semakin tua selain kuasa penentuan harganya kerana permintaan penjagaan kesihatan yang tidak anjal memberikannya keupayaan untuk mengatasi kos akibat peningkatan inflasi.

 

Katanya, kedudukan pasarannya yang menguasai dalam ruang penjagaan kesihatan swasta dengan kehadiran di Malaysia, Singapura, Turkiye dan China.- DagangNews.com