Kenanga Research kekal 'neutral' terhadap sektor plastik dan pembungkusan | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research kekal 'neutral' terhadap sektor plastik dan pembungkusan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Julai - Kenanga Research mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor plastik dan pembungkusan selepas melihat pemain industri tidak dapat melepaskan kos sepenuhnya kepada pengguna sekali gus memberikan kesan negatif kepada margin keuntungan mereka.

 

Firma itu berkata, persaingan dalam industri itu kekal sengit dengan permintaan untuk barangan masih belum pulih ke tahap pra pandemik.

 

Katanya, walaupun harga resin mula mencatatkan penurunan dalam beberapa bulan lalu, namun ia masih lagi tinggi berbanding setahun yang lalu.

 

"Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati kerana harga resin berada pada paras AS$1,340 (RM5,930) satu tan, lebih tinggi berbanding antara AS$1,100 (RM4,868) dan AS$1,200 (RM5,311) untuk satu tan pada 2021. 

 

"Pemain dalam industri pembungkusan mungkin tidak dapat menikmati kelebihan harga resin yang rendah kerana masih mempunyai sejumlah inventori mereka masih berada pada harga yang tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, bagi 2022, mereka mengekalkan andaian harga resin berada antara AS$1,200 (RM5,311) dan AS$1,300 (RM5,753).

 

"Kami mengandaikan margin keuntungan untuk pemain industri pembungkusan adalah antara 8-10% berbanding (10-12% pada 2021)," katanya.

 

Bagaimanapu, firma itu berkata, kenaikan harga jualan purata (ASP) tidak mencukupi untuk menyerap semua harga input yang tinggi yang hadir daripada harga resin yang tinggi akibat daripada kenaikan harga minyak mentah global. 

 

Selain itu katanya, kenaikan harga input itu juga didorong oleh kenaikan harga gaji minimum pekerja sebanyak 25% bermula Mei 2022 dan majikan bergelut untuk mencari pekerja kerana bilangannya yang terhad.

 

"Kenaikan tarif elektrik sehingga 17% untuk segmen industri dan komersial bermula Februari 2022 juga menjadi antara pendorong kepada kenaikan harga input," katanya. - DagangNews.com