Kenanga Research kemas kini unjuran keuntungan bersih Capitaland bagi FY23-24 didorong sumbangan Queensbay Mall, keputusan 1QFY23 dalam jangkaan | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research kemas kini unjuran keuntungan bersih Capitaland bagi FY23-24 didorong sumbangan Queensbay Mall, keputusan 1QFY23 dalam jangkaan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 April - Kenanga Research mengemas kini unjuran keuntungan bersih teras Capitaland Malaysia Trust kepada RM100.1m (+21%) pada FY23 dan RM105.7m (baharu) bagi FY24.

 

Perubahan tersebut mengambil kira sumbangan Queensbay Mall dan penyelarasan selepas keputusan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) yang berada dalam jangkaan setahun penuh firma tersebut sebanyak 24% dan konsensus 15%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sejajar dengan unjuran terkini, bilangan unit yang diperbesarkan berikutan pelaksanaan penempatan persendirian yang dikira menjadikan pengagihan seunit (DPU) kasar FY23/FY24 firma kepada 3.9 sen daripada 3.8 sen dan 4.0 sen (baharu), membayangkan hasil sebanyak 7.5% dan 7.7%, masing-masing.

 

“Memandangkan persekitaran perniagaan telah kembali normal, pada 1QFY23, trafik pembeli berada pada 95% berbanding paras 1Q19 manakala jualan penyewa setiap kaki persegi (psf) berada pada 113% daripada ambang 1Q19.

 

Dari segi profil tamat tempoh pajakan portfolio, peratusan pendapatan sewa kasar iaitu 30.5% akan tamat tahun ini, yang mana 26.5% daripada pajakan ini telah diperbaharui dan/atau di bawah rundingan lanjutan,” tambah firma itu dalam nota hari ini.

 

Berikutan selesainya pada 21 Mac 2023 pengambilalihan Queensbay Mall untuk RM990.5 juta, firma itu berkata Capitaland telah mula mendapat sumbangan daripada pusat beli-belah tersebut yang membawa pendapatan hartanah bersih (NPI) berjumlah RM2 juta dalam dalam 1QFY23.

 

Menurut firma tersebut, berdasarkan pekeliling kepada pemegang unit bertarikh 8 Februari 2023, Queensbay Mall diramalkan mencatatkan NPI sebanyak RM72.3 juta pada FY23 berbanding RM69 juta dalam tempoh 11 bulan berakhir November 2022).

 

“Kami mengunjurkan sumbangan NPI daripada Queensbay Mall sebanyak RM52 juta bagi impak sembilan bulan tahun ini dan RM73.9 juta tahun depan,” katanya.

 

Mengulas berkenaan keputusan 1QFY23, firma itu berkata pendapatan kasar meningkat 16% kepada RM78.5 juta manakala keuntungan bersih teras susut 3% kepada RM20 juta disebabkan perbelanjaan operasi hartanah melonjak 24% yang terdiri daripada kos utiliti dan perbelanjaan penyelenggaraan, serta perbelanjaan bukan operasi lain sebanyak 27% terutamanya akibat kos kewangan dan yuran pengurusan yang lebih tinggi.

 

“Mengikut aset hartanah, penyumbang pendapatan utama ialah Gurney Plaza dengan NPI meningkat 12% kepada RM25.7 juta dan East Coast Mall yang mencatat NPI RM9.7 juta, menyusut 5%.

 

Kadar penghunian portfolio keseluruhan adalah pada 89.2% pada akhir Mac 2023 berbanding 85.9% akhir Disember 2022 manakala penggearan berada pada 44.3% akhir 1QFY23, iaitu meningkat daripada 36.2% akhir FY22 berikutan pengambilalihan Queensbay Mall,” katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘market perform’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada 53 sen sesaham. -DagangNews.com