Kenanga Research mulakan liputan terhadap Nova Wellnes dengan sasaran 'outperform', TP RM1.09 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research mulakan liputan terhadap Nova Wellnes dengan sasaran 'outperform', TP RM1.09

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Julai - Kenanga Research memulakan liputan terhadap Nova Wellness Group Berhad dengan saranan 'outperform' pada harga sasaran (TP) RM1.09.

 

Firma itu menggemari kumpulan itu kerana mereka memiliki model perniagaan bersepadu yang merangkumi keseluruhan spektrum rantaian nilai farmaseutikal meliputi konsep produk bermula dari pembangunan dan penyelidikan (R&D) kepada pembuatan dan jualan.

 

Selain itu, kumpulan itu juga memiliki margin keuntungan yang selesa berdasarkan pengeluaran jenama sendiri (OBM) selain pertumbuhan pendapatan didorong oleh pengembangan kapasiti, rangkaian pengedaran dan penembusan ke hospital awam tempatan.

 

Firma itu juga menjangkakan, Nova berkembang pesat dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

"Peningkatan potensi pertumbuhan dipacu oleh lonjakan permintaan untuk produk makanan kesihatan kerana kebanyakan pengguna mengambil berat terhadap kesejahteraan mereka terutama selepas berlakunya pandemik COVID-19.

 

"Kumpulan itu menyaksikan peningkatan dua kali ganda pengedar kepada lebih 900 dengan sasaran untuk meningkatkan ini kepada 1,200 menjelang FY25 selaras dengan peningkatan pengedar, purata transaksi pengguna yang meningkat sebanyak 60% sejak FY20.

 

"Mereka berjaya menembusi pasaran hospital awam tempatan dan kini sedang mencari lebih banyak hospital untuk pasaran masa hadapan kerana segmen itu menyumbang lebih 5% kepada hasil pendapatan mereka," katanya. 

 

Firma itu berkata, menurut penyelidikan pasaran jangka panjang, pasaran makanan tambahan global diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 9%.

 

"Selaras dengan pertumbuhan sektor industri, kami mengunjurkan pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 17%/18% untuk FY23/FY24.

 

"Pendapatan kumpulan dijangka didorong 18% pertumbuhan hasil pada FY23 dan FY24, purata harga jualan dan jumlah pertumbuhan masing-masing sebanyak 2% dan 16% dan margin lebih rendah untuk pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 48%," katanya. - DagangNews.com