Kenanga Research naikkan unjuran pendapatan FY24 Wasco sebanyak 12% disokong andaian margin kasar lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research naikkan unjuran pendapatan FY24 Wasco sebanyak 12% disokong andaian margin kasar lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - Kenanga Research menaikkan unjuran pendapatan FY24 sebanyak 12% dengan andaian margin kasar yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

 

Katanya, kumpulan itu menjangkakan peningkatan dalam pesanan kerja terutama dalam bahagian perkhidmatan tenaga dan menjangkakan margin lebih tinggi disebabkan terma kontrak yang lebih menguntungkan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada masa sama kumpulan itu berjaya menambah nilai buku pesanan sebanyak RM1.9 bilion pada 1HFY24.

 

"Kami menjangkakan momentum penambahan kontrak baharu akan berterusan pada FY24 dan FY25 berikutan kerancakan di dalam industi," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, hasil kumpulan meningkat sebanyak 20.9% pada 1HFY24 kepada RM1.35 bilion berbanding RM1.11 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu, dipacu oleh segmen perkhidmatan tenaga dan kemajuan ketara dalam projek utama.

 

Keuntungan sebelum cukai melonjak 70.5% kepada RM145.5 juta, manakala keuntungan bersih mencecah RM106.4 juta, mencerminkan tumpuan kumpulan terhadap kecekapan operasi dan pelaksanaan.

 

Kenanga Research menyukai kumpulan itu kerana tender yang kukuh bagi kontrak salutan paip global dan bahagian kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) selain pendedahannya dalam bahagian biotenaga yang boleh menjadi proksi kepada peningkatan permintaan untuk dandang dalam industri biojisim 

 

Bagaimanapun, Wasco berdepan beberapa risiko termasuk kelewatan dan lebihan kos daripada pelaksanaan projek yang lemah, penambahan buku pesanan yang perlahan dan lonjakan perbelanjaan modal disebabkan persekitaran kos inflasi

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.70 sesaham," katanya.- DagangNews.com