KUALA LUMPUR 3 Okt - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'market perform' terhadap Petronas Dagangan Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM22.25 sesaham.
Firma itu neutral terhadap prospek kumpulan dengan berpendapat saham ini sebahagian besarnya tidak banyak berubah susulan lawatannya ke terminal Petronas Dagangan di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
Menurutnya, selepas langkah pelupusan inventori, pendapatan kumpulan tidak lagi terdedah kepada keuntungan/kerugian inventori terutamanya akan didorong oleh volum.
Awal tahun ini, kumpulan telah melengkapkan penjualan inventori dan stok yang berfungsi dalam tangki simpanan kepada Petco (satu lagi anak syarikat milik penuh Petronas), dinamakan sebagai 'projek DOVE'.
"Kami kini boleh mengesahkan bahawa tiada perubahan secara operasi selepas pemindahan pemilikan ini diselesaikan.
"Bahan api masih disimpan di terminalnya, dengan Petronas Dagangan hanya mengambil alih pemilikan inventori apabila bahan api telah dimuatkan ke dalam trak dan dihantar ke stesen.
"Berikutan selesainya projek DOVE ini, pendapatan runcitnya tidak lagi dipengaruhi oleh keuntungan/kerugian inventori, dan terutamanya akan didorong oleh volum," katanya dalam nota kajian hari ini.
Selain itu, Kenanga Research berkata, mekanisme harga telah mengheret turun segmen komersialnya sejak dua suku sebelum ini di sebalik peningkatan jualan.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan ia akan kembali stabil pada separuh kedua 2022 apabila kenaikan harga minyak semakin berkurangan," tambahnya.
Secara keseluruhan, firma itu mendapati risiko kepada penarafannya bergantung kepada pemansuhan subsidi bahan api akan menjejaskan penggunaan, kemelesetan global dan pelaksanaan semula sekatan pergerakan.
Setakat 10.00 pagi ini, harga sahamnya menokok 8 sen atau 0.4% kepada RM20.10 dengan 22,800 saham diniagakan. - DagangNews.com