KUALA LUMPUR 3 Jan - Kenanga Research optimis namun kekal berhati-hati terhadap pelaksanaan model rangkaian dwi (DN) 5G baharu bagi segmen mudah alih.
Katanya, ia disokong oleh persekitaran kawal selia yang lebih akomodatif berikutan ketiadaan campur tangan kerajaan selain tiada lagi tawaran harga yang tidak munasabah selain peningkatan kecekapan pelancaran rangkaian untuk rangkaian 5G kedua.
"Oleh itu, kami berharap pendapatan dan dividen untuk syarikat mudah alih kekal utuh selepas DN berkuat kuasa.
"Sementara itu, bagi syarikat talian tetap, kami percaya bahawa sentimen bertambah baik selepas tarif yang disemak bagi perkhidmatan borong dan runcit.
"Ia secara tidak langsung menghapuskan ketidakpastian pendapatan dan meredakan kebimbangan awal tentang persaingan runcit yang tidak rasional," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, pengguna di negara ini secara amnya tidak menyedari potensi dan faedah 5G.
Secara khususnya, terdapat banyak dan pelbagai aplikasi teknologi 5G untuk kegunaan industri dan perusahaan merangkumi automasi ketepatan, pengawasan jarak jauh, penyiaran definisi tinggi masa nyata, analisis data pada awan kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya.
"Aplikasi sedemikian menghasilkan transformasi proses perniagaan yang membolehkan organisasi meningkatkan kecekapan dan mencapai inovasi baharu.
Kenanga Research berkata, individu tidak lagi menjadi sasaran pasaran apabila melibatkan 5G.
Katanya, bagi pengguna, aplikasi yang memerlukan 5G termasuk pengalaman realiti maya atau interaksi dalam metaverse selain perkhidmatan penstriman berkelajuan tinggi ultra untuk permainan video dalam masa nyata serta pemanduan autonomi untuk kenderaan penumpang dan sebagainya.
"Selain itu, kami percaya bahawa aplikasi pengguna terus berkembang secara progresif apabila perkakasan, perisian dan pembangun kandungan memanfaatkan keupayaan 5G.
"Ketika ini aplikasi ini masih di peringkat awal selain itu, penetapan harga peranti pengguna 5G berteknologi tinggi adalah penghalang utama kepada pembeli biasa," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu. - DagangNews.com