Kenanga Research optimis terhadap prospek Genting disokong pembukaan semula China pada awal tahun | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research optimis terhadap prospek Genting disokong pembukaan semula China pada awal tahun

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mei - Kenanga Research optimis terhadap prospek Genting Berhad disokong oleh pembukaan semula China awal tahun ini dan pembukaan sempadan antarabangsa.

 

Firma itu berkata, keputusan 1QFY23 Genting Singapore Ltd. melebihi jangkaan pasaran, dengan pendapatan terasnya meningkat tiga kali ganda tahun ke tahun apabila pelancong kembali dalam jumlah yang besar.

 

Katanya, untung bersih teras bagi suku berkenaan mencapai S$131.2 juta, hampir 20% daripada unjuran konsensus untuk sepanjang tahun.

 

"Bagaimanapun, kami menganggap keputusan itu dalam jangkaan pasaran kerana kami menjangkakan suku tahun akan datang lebih kukuh untuk Genting Singapore apabila ketibaan pelancong semakin meningkat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, selepas pendapatan hambar selama dua tahun berturut-turut yang dialami Genting Singapore berakhir pada 1HFY22 disebabkan pembukaan sempadan antarabangsa dan pembukaan semula China awal tahun ini.

 

"Perkara sama dijangka berlaku kepada Genting Malaysia, semua perkara ini akan memberi manfaat kepada syarikat induk," katanya.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan untuk syarikat induk Genting bagi FY23/FY24.

 

Walaupun rangsangan daripada pembukaan semula China mulai Januari 2023, firma itu berkata, kumpulan itu sedikit sebanyak dikekang oleh ketersediaan penerbangan dan tambang mampu milik, serta inflasi yang menyekat perbelanjaan pengguna.

 

“Namun begitu, syarikat itu bersedia untuk menampung ketibaan pelawat lebih ramai dengan pelan pengembangan Resorts World Genting (RWS) 2.0 yang sedang berjalan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM5.86 untuk syarikat induk genting," katanya. - DagangNews.com