Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 April - Sektor perbankan dijangka terus merekodkan pertumbuhan hasil pendapatan walaupun pertumbuhan pembiayaan dan faedah bersih kekal lemah berikutan perkembangan vaksin yang lebih perlahan berbanding jangkaan.
Penganalisis Kenanga Research, Clement Chua berkata, bank-bank telah melaksanakan struktur kos yang lebih rendah di sebalik persekitaran operasi ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.
Katanya, meskipun lebih banyak rosot nilai direkodkan pada suku keempat 2020, tetapi ia dijangka menyederhana pada suku kedua 2021 ini.
"Kami akan terus melihat sektor ini secara positif sebagai proksi kepada pemulihan ekonomi.
"Ini memandangkan prospek perniagaan dan perbelanjaan dilihat kembali normal terutama dengan usaha pelancaran vaksin COVID-19," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2021 akan berkembang pada 4.5%, lebih rendah berbanding unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) pada 6 hingga 7.5%.
Menurut Clement, di sebalik konsensus ekonomi yang bergerak kepada pemulihan, tetapi didapati pelabur institusi telah mengambil langkah berhati-hati terhadao sektor kewangan dan mengurangkan kedudukannya.
Pada masa sama, katanya, pelabur asing juga 'kurang berminat' dengan institusi perbankan tempatan tetapi trend ini telah berlaku sejak 2019 lagi.
"Ini mungkin disebabkan Malaysia dianggap sebagai pertaruhan yang lebih baik ekoran faktor birokrasi dan impak COVID-19," katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, ia kurang bimbang kerana harga saham dan tahap penilaian bagi sektor perbankan masih kekal stabil yang boleh membantu trajektor pertumbuhan apabila pelabur kembali.
"Namun, keseluruhan kami optimis terhadap sektor ini disokong oleh unjuran KDNK dan tiada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR)," tambahnya.
Firma ini mengekalkan saranan 'Overweight' bagi Maybank dengan harga sasaran RM10.60 manakala RHB Bank pula pada RM6.25. - DagangNews.com