Kenanga Research positif terhadap kejayaan Kerjaya Prospek raih 2 kontrak baharu bernilai RM46 juta | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research positif terhadap kejayaan Kerjaya Prospek raih 2 kontrak baharu bernilai RM46 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Kenanga Research positif terhadap kejayaan Kerjaya Prospek Group Berhad meraih dua kontrak bernilai RM46 juta daripada dua anak syarikat Eastern & Oriental Berhad menjadikan jumlah kontrak yang diraih setakat ini sebanyak RM984 juta.

 

Firma itu berkata, kejayaan terbaharu itu menyaksikan mereka berjaya mencapai 66% daripada sasaran yang ditetapkan pihaknya dan berada di landasan terbaik untuk mencapai unjuran kontrak yang disasarkan firma itu sebanyak RM1.5 bilion.

 

Katanya, ia juga membantu menaikkan pesanan tertunggak kumpulan itu kepada RM4.4 bilion.

 

"Kami juga menjangkakan kumpulan itu akan meraih untung bersih sebanyak 10% daripada kontrak itu," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Terdahulu, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd menerima dua surat anugerah (LOA) daripada Eastern & Oriental Express Sdn Bhd (E&OE) dan Persada Mentari Sdn Bhd (PMSB).

 

LOA pertama bernilai RM24.7 juta daripada E&OE memerlukan Kerjaya Prospek melaksanakan dan menyiapkan pembersihan tapak, kerja tanah, kerja perparitan dan semua kerja berkaitan lain untuk cadangan pembangunan bercampur yang terletak di Seksyen U17, Shah Alam.

 

BACA JUGA: Kerjaya Prospek raih dua kontrak bernilai RM46 juta daripada Eastern & Oriental

 

Sementara itu, LOA kedua bernilai RM21.3 juta daripada PMSB melibatkan pelaksanaan dan penyiapan kerja infrastruktur untuk cadangan pembangunan Seri Tanjung Pinang Fasa 2A, Pulau Pinang.

 

Projek tersebut dijangka siap dalam tempoh 12 bulan dari tarikh permulaan 18 September 2023.

 

Firma itu menyukai kumpulan itu kerana rumusan pembinaannya yang inovatif dan struktur kos bersih yang diterjemahkan kepada margin di atas purata.

 

Katanya, pasukan pengurusan praktikalnya dan rekod prestasi pelaksanaan yang kukuh dan keupayaannya untuk memenangi pekerjaan luar secara konsisten dan ketersediaan pesanan kerja daripada pihak berkaitan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.50 sesaham," katanya.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu turut berdepan pelbagai cabaran termasuk kemerosotan dalam prospek pembinaan, peningkatan kos input dan kos projek berlebihan dan liabiliti yang timbul daripada ganti rugi pasti (LAD). - DagangNews.com