Kenanga Research positif terhadap langkah TSH membatalkan cadangan pelupusan tanah di Kalimantan | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research positif terhadap langkah TSH membatalkan cadangan pelupusan tanah di Kalimantan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Kenanga Research positif terhadap keputusan TSH Resources Bhd untuk membatalkan pelupusan tanah kumpulan itu Kalimantan, Indonesia, memandangkan kunci kira-kiranya yang kukuh.

 

Katanya, keputusan itu dijangka menjana hasil yang tinggi kerana 62% daripada tanah tersebut ditanam dengan kelapa sawit yang sudah berada pada tahap kemuncak (12 tahun secara purata). 

 

"Kami megekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasara RM1.30 sesaham.

 

"Kami percaya langkah itu adalah relevan kerana tanah kelapa sawit semakin berkurangan, walaupun di Indoensia.

 

"Kedudukan kewangan kumpulan kukuh dengan dana yang mencukupi (RM250 juta hingga RM300 juta) bagi menanam 8,000-10,000 pokok kelapa sawit di atas tanah yang sudah dimiliki kumpulan itu dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, TSH telah membatalkan keputusan untuk melupuskan 5,398 hektar ladang di Kalimantan. Ia adalah tranche kedua daripada pelupusan dua peringkat ladang kelapa sawit seluas 13,898 hektar.

 

Pada April 2022, kumpulan itu memeterai perjanjian untuk menjual 13,898 hektar ladang kelapa sawit yang sebahagian besarnya tidak ditanam di Kalimantan kepada PT Kawasan Industri Kalimantan Indonesia dan PT Kalimantan Industrial Park Indonesia dengan tunai RM731 juta.

 

Rasionalnya adalah untuk menyeimbangkan kunci kira-kiranya dengan penggearan bersih menghampiri 1x.

 

Tranche pertama melibatkan 8,500 hektar telah diselesaikan dengan tunai RM441 juta pada Ogos 2022.

 

Firma penyelidikan itu percaya TSH kini tidak perlu menjual tranche kedua, kerana hasil pelupusan daripada tranche pertama adalah mencukupi, ditambah dengan aliran tunai yang kukuh yang dijana daripada operasi seluruh kumpulannya sejak dua tahun lepas, disokong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang kukuh.

 

Katanya, kumpulan itu telah mengurangkan hutangnya kepada RM47 juta pada akhir 1QFY24.

 

"Kami mengekalkan ramalan pendapatan teras kami tetapi mengeluarkan anggaran keuntungan pelupusan sebanyak RM100 juta daripada unjuran awal kami," katanya. - DagangNews.com