Kenanga Research positif terhadap prospek FY25, FY26 Ancom Nylex dipacu peningkatan pesanan produk pengawet kayu | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research positif terhadap prospek FY25, FY26 Ancom Nylex dipacu peningkatan pesanan produk pengawet kayu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - Kenanga Research positif terhadap prospek Ancom Nylex Bhd bagi FY25 dan FY26 dipacu beberapa faktor termasuk peningkatan pesanan produk pengawet kayu dan jualan produk monosodium methanearsonate (MSMA).

 

Katanya, selepas hampir setahun berunding, kumpulan itu akhirnya memeterai kontrak bekalan selama tiga tahun bagi produk pengawet kayu pada Jun 2024 kepada pelanggan Amerika Syarikat (AS) dan mereka telah menaikkan pembelian mereka sepanjang FY24. 

 

"Memandangkan pengawet kayu menikmati margin yang baik, pesanan sedemikian harus diterjemahkan kepada margin keuntungan keseluruhan yang lebih baik untuk segmen kimia pertanian," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, selepas mengembangkan kapasiti MSMA tahunannya daripada 12 juta liter kepada 15 juta liter pada tahun lalu, kumpulan itu sedang berusaha mengembangkan jualan berdasarkan aplikasi lebih luas melangkaui tebu dan memasukkan kacang soya di Brazil dengan kawasan penanaman sehingga lima kali lebih besar.

 

Selain itu katanya, ia juga akan dipacu kemasukan mereka ke Indonesia selain potensi pemulihan di Thailand daripada keperluan penyimpanan semula selepas musim kemarau yang menghalang permintaan racun herba.

 

"Selepas berlaku pelbagai kelewatan, pengeluaran bahan aktif (AI) 'T' yang dipertingkatkan dijadualkan bermula selepas Ogos 2024.

 

"Kelewatan terbaharu selama enam bulan adalah disebabkan penambahan satu lagi langkah pemprosesan (phosgenation) bagi memudahkan penyumberan bahan mentah input. Oleh itu, jualan AI 'T' yang lebih bermakna harus bermula pada FY25 dengan kesan setahun penuh dari FY26," katanya.

 

Kenanga Research terus menyukai kumpulan itu kerana kedudukannya sebagai pengeluar bahan kimia herba di Asia Tenggara selain menjadi penerima manfaat daripada larangan meluas penggunaan Paraquat.

 

"Ancom Nylex juga adalah penerima manfaat daripada ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China selain menjadi proksi kepada pengeluaran makanan global dengan matlamat keselamatan makanan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' dengan harga sasaran (TP) RM1.50 sesaham. - DagangNews.com