Kenanga Research positif terhadap prospek logistik, pelabuhan disokong permintaan tinggi pasaran domestik | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research positif terhadap prospek logistik, pelabuhan disokong permintaan tinggi pasaran domestik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mac - Kenanga Research positif terhadap prospek sektor logistik tempatan dan pelabuhan didorong permintaan tinggi bagi pasaran domestik dan perkembangan pesat segmen e-dagang.

 

Firma itu berkata, pakar industri mengunjurkan jumlah dagangan kasar e-dagang tempatan berkembang pada pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 11% dari 2022 hingga 2027, manakala saiznya boleh mencecah RM1.65 trilion menjelang 2025 berbanding RM1 trilion pada masa ini.

 

"Perkembangan pesat e-dagang merangsang permintaan untuk hab pengedaran dan gudang bagi membolehkan penghantaran tepat pada masanya, membawa pengilang lebih dekat dengan pelanggan akhir, sistem automasi yang cekap termasuk kesalinghubungan dengan pelanggan, dan desentralisasi gudang untuk mengurangkan kos pengangkutan serta risiko rantaian bekalan.

 

"Terdapat juga permintaan yang kukuh untuk gudang penyimpanan sejuk didorong percambahan syarikat pemula runcit dalam talian," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma itu berkata, Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) mengunjurkan jumlah dagangan barangan global hanya meningkat 1% pada 2023 kesan daripada ketidaktentuan ekonomi global.

 

Selain itu,firma itu berkata, keyakinan dan perbelanjaan pengguna di peringkat global berkemungkinan besar menjejaskan inflasi dan kadar faedah yang meningkat dan ekonomi global yang perlahan.

 

Firma itu berkata, perkara itu bukan petanda baik untuk pengendali pelabuhan seperti Westports Holdings Berhad. 

 

"Bagaimanapun, kami percaya Bintulu Port Holdings Berhad mampu mengharungi cabaran makro dengan lebih baik didorong operasinya yang stabil dalam pengendalian kargo gas asli cecair (LNG) selain potensi kenaikan tarif di Pelabuhan Bintulu.

 

"Pada masa sama ia dibantu potensi pertumbuhan jangka panjang Perindustrian Samalaju kawasan pedalaman pelabuhan di Samalaju, Sarawak didorong oleh pelaburan yang semakin meningkat dalam industri berat," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu kerana keputusan bagi suku tahun keempat 2022 adalah bercampur-campur. - DagangNews.com