Kenanga Research positif terhadap prospek pendapatan YTL Power International | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research positif terhadap prospek pendapatan YTL Power International

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 April - Kenanga Research positif terhadap prospek pendapatan YTL Power International Berhad.  

 

Firma itu berkata dalam tempoh terdekat, pendapatan YTL Power akan dipacu oleh peningkatan keuntungan PowerSeraya, manakala rancangan RM15 bilion Taman Pusat Data Hijau YTL di Johor akan meluaskan asas pendapatannya bagi jangka panjang.

 

Katanya, pendapatan FY23 sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan setiap megawatt sejam (EBITDA/MWj) untuk PowerSeraya sebanyak S$45 sepadan dengan kadar semasa tempoh terminal pra-LNG sebanyak S$48 dalam FY11, S$43 dalam FY12 dan S$42 pada FY13.

 

"Permulaan terminal LNG Singapura pada Mei 2013 yang mencetuskan perjanjian bekalan LNG "ambil atau bayar" sebahagiannya menyebabkan EBITDA/MWj PowerSeraya merosot daripada S$36 pada FY14 kepada serendah S$7 pada FY19.

 

"Bagaimanapun, perjanjian ini telah berakhir antara 2020 dan 2023, menghasilkan peningkatan dalam EBITDA/MWj PowerSeraya kepada S$23 pada FY21 dan S$27 pada FY22, dan seterusnya pada FY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, selain EBITDA/MWj yang lebih tinggi, pendapatan PowerSeraya juga boleh didorong oleh kecekapan yang lebih baik yang timbul daripada skala ekonomi yang lebih baik disokong oleh bahagian pasaran yang lebih besar.

 

Firma itu terus menyukai kumpulan itu keran prospek pendapatannya yang bertambah baik dengan pemulihan PowerSeraya, kadar tarif baharu yang disemak semula mulai April 2023 memastikan pendapatan Wessex Water berdaya tahan dan pendapatan yang besar daripada usaha niaga pusat data baharu.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran RM1.09 sesaham. - DagangNews.com