Kenanga Research positif terhadap prospek sektor telekomunikasi didorong permintaan berdaya tahan | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research positif terhadap prospek sektor telekomunikasi didorong permintaan berdaya tahan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mac - Kenanga Research positif terhadap prospek sektor telekomunikasi berdasarkan kepada permintaan berdaya tahan daripada pengguna selain perniagaan domestik dan serantau.

 

Firma itu berkata, pemain industri seperti Celcom-Digi Berhad (CDB) dijangka mendapat manfaat daripada kehadiran semula pekerja asing.

 

Katanya, permintaan untuk mudah alih dan jalur lebar tempatan akan disokong oleh liputan yang lebih luas ke arah penyiapan Fasa 1 Pelan Infrastruktur Digital Kebangsaan (Jendela).

 

"Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) hampir 97% kawasan berpenduduk mempunyai akses kepada rangkaian 4G (92% sebelum Fasa 1 Jendela) dengan purata kelajuan jalur lebar mudah alih meningkat kepada 52Mbps (35 Mbps pada mulanya).

 

"Janji pelancaran 5G akan meningkatkan lagi permintaan dengan pemain seperti Axiata dan OCK mendapat manfaat daripada pembinaan dan gentian lebih 5,500 menara di bawah fasa seterusnya pelancaran 5G," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, perkembangan pelanggan mencatatkan pertumbuhan positif di peringkat domestik dan serantau.

 

Katanya, langganan Axiata dipacu oleh Dialog dan Ncell (Nepal), berkembang sebanyak 9% dan 2% masing-masing walaupun berdepan tekanan inflasi.

 

"Langganan domestik diterajui oleh TM yang menyaksikan pertumbuhan 13% pada harga yang kompetitif, promosi yang kukuh dan janji perkhidmatan 5G atau perkhidmatan jalur lebar.

 

"Purata pendapatan setiap pengguna (ARPU )bercampur bercampur kerana semua pemain (tempatan dan serantau) menyaksikan peningkatan kecuali Ncell," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor itu dan percaya bahawa pasaran telah menetapkan pelbagai cabaran berkaitan pelancaran 5G. - DagangNews.com