Kenanga Research positif terhadap sektor pembungkusan plastik dipacu permintaan lebih kukuh | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research positif terhadap sektor pembungkusan plastik dipacu permintaan lebih kukuh

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Julai - Kenanga Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor pembungkusan plastik dipacu permintaan berterusan yang lebih kukuh bagi sepanjang baki tahun ini.

 

Katanya, permintaan itu disokong oleh pemulihan dalam aktiviti pembuatan dan perbelanjaan pengguna di seluruh dunia, berikutan penyimpanan semula oleh pelanggan pada awal tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi jangka panjang, pemain tempatan bersedia untuk memperoleh bahagian pasaran daripada pengeluar luar negara memandangkan struktur kos rendah, skala ekonomi yang lebih baik dan inovasi produk terutamanya bahan pembungkusan plastik yang mampan.

 

Di samping itu, ia memetik unjuran KPMG bahawa pasaran pembungkusan plastik global akan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 5% antara tiga hingga lima tahun akan datang.

 

"Kami percaya pemain tempatan boleh berkembang pada kadar yang lebih pantas disebabkan kos yang lebih rendah, skala ekonomi yang lebih baik dan inovasi produk seperti filem regangan nano dan filem mono yang lebih mesra alam," katanya dalam satu nota kajian.

 

Kenanga Research berkata, pertumbuhan jualan pemain tempatan dijangka meningkat didorong usaha pemasaran mereka terutama penyertaan aktif dalam pameran perdagangan antarabangsa (seperti Interpack, China Plas dan Pack Expo East) bagi memperkenalkan produk inovatif seperti filem regangan nano dan filem mono.

 

Katanya, filem regangan nano terkenal dengan sifatnya yang lebih nipis lagi kukuh yang membolehkan pelanggan mengurangkan penggunaan filem tanpa menjejaskan kestabilan beban manakala filem mono merupakan filem kitar semula sepenuhnya yang terdiri daripada satu jenis damar plastik.

 

"Produk ini mempunyai daya tarikan yang kuat terutamanya di pasaran maju kerana peraturan kemampanan adalah lebih ketat," katanya.

 

Firma penyelidikan berkata, Thong Guan Industries Bhd adalah pilihan utama mereka dalam sektor itu kerana prospek perkembangan mereka disokong rancangan pengembangan produk premium, seperti filem regangan nano, pembalut makanan dan beberapa beg industri selain dorongan agresif dalam pasaran Eropah serta Amerika Syarikat (AS).

 

Selain itu, inovasi produk kumpulan itu menerusi R&D serta kerjasama dengan syarikat seperti ExxonMobil bagi menghasilkan produk yang lebih mesra alam.- DagangNews.com