KUALA LUMPUR 15 Dis - Kenanga Research menyemak turun unjuran pendapatan Yinson Holdings Berhad bagi FY24 sebanyak 53% dan 35% bagi FY25 selepas menganggap keuntungan kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) sebagai pendapatan bukan teras.
Dengan ketiadaan EPCIC, sebahagian besar unjuran untung bersih bagi FY24 dikekalkan tetapi firma itu mengurangkan pendapatan FY25 sebanyak 15%.
Katanya, pengurangan itu disebabkan oleh andaian kos operasi yang lebih tinggi didorong oleh peningkatan kos projek unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO).
Firma penyelidikan itu berkata, pada 3QFY24, penurunan dari suku tahun ke suku tahun sebanyak 10% disebabkan pengurangan pengiktirafan kerja dalam penukaran FPSO.
Katanya, ia tidak termasuk kesan EPCIC, hasil bagaimanpun menunjukkan peningkatan disebabkan oleh sumbangan daripada FPSO Anna Nery.
"Namun begitu, keuntungan teras mengalami penurunan suku tahun ke suku tahun sebanyak 10%, disebabkan oleh kos kewangan dan pentadbiran yang lebih tinggi, berpunca daripada kos operasi syarikat induk yang meningkat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Kenanga Research menyukai kumpulan itu kerana pesanan FPSO yang kukuh dengan perlbagai kontrak utama dijangka memberi pertumbuhan pendapatan ketara pada masa akan datang.
Selain itu, Yinson memiliki rekod prestasi projek yang kukuh yang membolehkan syarikat mendapat manfaat daripada permintaan struktur yang kukuh untuk kontraktor FPSO.
"Mereka juga merupakan antara syarikat minyak dan gas tempatan yang pertama melabur dalam syarikat teknologi hijau dan ia akan akan membantu agenda peralihan tenaga jangka panjang syarikat," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM3.39 sesaham.- DagangNews.com