Kenanga Research unjur AS$65 setong harga minyak mentah Brent pada 2022, sektor O&G kekal dengan saranan 'overweight' | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur AS$65 setong harga minyak mentah Brent pada 2022, sektor O&G kekal dengan saranan 'overweight'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 28 Dis - Ekoran impak varian Omicron yang dilihat sederhana, Kenanga Research mengekalkan unjuran harga minyak mentah Brent sekitar AS$65 setong pada tahun hadapan.

 

Firma itu bagaimanapun melihat unjuran itu agak konservatif berbanding ramalan Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) pada AS$70 setong manakala konsensus Bloomberg pula AS$72 setong. 

 

"Walaupun kemungkinan kenaikan harga minyak mentah mungkin lebih rendah, tetapi pandangan kami selagi harga minyak boleh bertahan di atas paras AS$60 setong, unjuran semasa pelaburan dan tahap aktiviti tidak seharusnya tergelincir dengan ketara," jelas penganalisisnya, Steven Chan dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurut beliau, permintaan minyak global dijangka mencecah paras sebelum pandemik kira-kira 100 juta tong sehari (bpd) menjelang 2022. 

 

Katanya, meskipun varian Omicron kekal menjadi kebimbangan utama dalam anggaran permintaan minyak global, namun, kesannya adalah sederhana dan sementara.  

 

"Namun begitu, kami menjangkakan pertumbuhan pengeluaran daripada Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) dan pengeluaran Amerika Syarikat (AS) yang ketat serba sedikit dapat mengatasi pertumbuhan perlahan dalam penggunaan minyak, sementara OPEC+ berusaha mengurangkan pengeluaran secara beransur-ansur dan memperkenalkan semula bekalan dalam pasaran," jelasnya. 

 

Ini akan membantu merancakkan semula aktiviti pada 2022 yang dijangka sebagai tahun pemulihan dari segi aktiviti dan perbelanjaan pelaburan sama ada di peringkat global mahupun domestik. 

 

Perbelanjaan global bagi aktiviti penerokaan dan pengeluaran dijangka meningkat pada tahun hadapan, setelah sektor minyak dan gas (O&G) berdepan pelaburan yang rendah dalam tempoh 1 hingga 2 tahun lalu. 

 

Di peringkat tempatan penyedia perkhidmatan dan peralatan minyak gas berdepan kesukaran kesukaran untuk menyiapkan kerja-kerja yang diperoleh dalam tempoh tersebut disebabkan gangguan logistik akibat pelaksanaan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19. 

 

Bagaimanapun, Chan berkata, sejajar dengan pembukaan semula ekonomi, tahap aktiviti ini yang berada pada titik perubahan akan kembali pulih pada tahun hadapan. 

 

"Petronas pula dijangka memperuntukkan sebanyak RM40 hingga RM45 bilion capex setiap tahun dalam tempoh 5 tahun akan datang, daripada RM33 juta pada 2020. 

 

"Kami menjangkakan aktiviti huluan akan kekal menjadi tumpuan sebahagian besar capex Petronas di sebalik tekanan terhadap penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) yang semakin meningkat," katanya.

 

Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor O&G dengan pilihan utamanya adalah Dialog Group Bhd. dan MISC Bhd. dengan masing-masing diberi saranan 'outperform' pada harga sasaran RM3.50 dan RM8.05. 

 

"Melihat kepada penilaian semasa sektor ini, beserta dengan jangkaan pemulihan pada 2022, kami percaya masih terhadap peluang memburu saham dalam sektor O&G, meskipun pelabur bersikap selektif dalam pemilihan mereka dengan mengambil kira asas sektor yang semakin merosot," tambahnya. - DagangNews.com