Kenanga Research unjur BNM kekal OPR pada paras 3% sepanjang 2023 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur BNM kekal OPR pada paras 3% sepanjang 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - Kenanga Research mengunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 3% untuk sepanjang tahun ini dengan jangkaan kadar inflasi berkurangan manakala momentum pertumbuhan ekonomi mungkin perlahan pada separuh kedua 2023.

 

Firma itu berkata, walaupun inflasi teras kekal meningkat pada 3.5% pada Mei (purata 5 tahun: 1.5%), menandakan permintaan masih kukuh namun mereka masih menjangkakan BNM mengekalkan OPR tidak berubah pada 3% untuk sepanjang tahun.

 

Katanya, jangkaan itu juga adalah berikutan peningkatan ketidaktentuan makro dan prospek pertumbuhan global yang lebih perlahan.

 

"Jangkaan kami terhadap aliran menurun yang berterusan dalam kedua-dua harga utama dan teras mengukuhkan lagi pandangan kami bahawa BNM telah menyelesaikan kitaran normalisasi dasarnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, inflasi utama menurun kepada di bawah 3% buat kali pertama dalam 12 bulan pada Mei, mendorong kadar faedah sebenar bertukar positif buat kali pertama dalam 26 bulan.

 

Bagaimanapun, masih terdapat risiko dan ketidakpastian yang boleh menjejaskan keputusan bank pusat.

 

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan BNM akan terus berwaspada dalam memantau faktor luaran (iaitu meningkatkan ketegangan geopolitik) dan mengambil tindakan sewajarnya jika perlu," katanya.

 

Sementara itu, firma itumenjangkakan kadar pengangguran purata yang lebih rendah sebanyak 3.5% pada 2023 (2022: 3.8%) dan peningkatan pendapatan isi rumah, didorong oleh gaji minimum yang lebih tinggi dan prospek pendapatan yang lebih baik, yang akan terus menyokong penggunaan swasta.

 

Katanya, ia juga akan dilengkapkan dengan realisasi pelaburan berikutan pelaburan diluluskan lebih tinggi yang direkodkan tahun lepas (2022: RM264.6 bilion; 2021: RM306.5 bilion).

 

"Di samping itu, kami mengharapkan kerajaan persekutuan mempercepatkan perbelanjaan infrastruktur awam sambil mengekalkan langkah dasar yang menyokong, termasuk penerusan subsidi dan program pemindahan tunai untuk kumpulan B40.

 

"Kami mengekalkan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) keseluruhan 2023 sebanyak 4.7%, berbanding ramalan kerajaan (4.5%), BNM (4.0% - 5.0%) dan konsensus (4.2%)," katanya.- DagangNews.com