Kenanga Research unjur jualan Power Root di pasaran domestik, Asia Barat terus catat penurunan | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur jualan Power Root di pasaran domestik, Asia Barat terus catat penurunan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Nov - Kenanga Research menjangkakan penurunan jualan produk Power Root Berhad di pasaran domestik dan Asia Barat berterusan akibat cabaran mikoekonomi.

 

Katanya, untung bersih kumpulan itu 1HFY24 adalah mengecewakan, selepas hanya mencapai 43% dan 41% daripada unjuran setahun penuh dan anggaran konsensus.

 

Varians terhadap ramalan itu sebahagian besarnya datang daripada jualan yang lebih lemah daripada jangkaan. 

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu tidak memiliki rancangan segera untuk menaikkan harga produknya, untuk kekal berdaya saing.

 

"Kumpulan itu sebelum ini sudah membuat dua pelarasan harga pada FY23 iaitu peningkatan purata sebanyak 8% untuk barisan produk Alicafe dan Ah Huat pada Oktober 2022 dan kira-kira 11% untuk minuman dalam tin Frenche Roast dan Oligo pada Januari 2023. 

 

"Pelarasan itu memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan 31% dari tahun ke tahun bagi perolehan pada FY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Untung bersih Power Root jatuh 33.8% kepada RM10.3 juta bagi 2QFY24

 

Pendapatannya pada suku berakhir 30 September 2023 itu juga merosot 20.7% kepada RM99.7 juta daripada RM125.7 juta tahun lalu dengan pendapatan sesaham (EPS) susut kepada 2.2 sen berbanding 3.7 sen sebelumnya.

 

Penurunan itu disebabkan pendapatan yang lebih rendah untuk eksport dan pasaran domestik pada suku semasa berbanding suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu menyemak turun unjuran untung bersih FY24 dan FY25 sebanyak 14% dan 7% bagi mencerminkan jualan domestik dan eksport yang lemah.

 

"Kami mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM1.95 berbanding RM2.10 sesaham," katanya.- DagangNews.com