Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Dis - Kenanga Research mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) kekal pada paras RM4,000 satu tan metrik pada suku pertama 2022 (Q122) sebelum menurun beberapa bulan kepada kira-kira RM3,000 satu tan metrik menjelang akhir tahun hadapan.
Firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan, walaupun harga MSM mungkin mula merosot daripada harga puncak pada Oktober lalu berikutan jangkaan aliran menaik bekalan daripada minyak sawit, minyak kacang soya dan minyak biji sesawi pada 2022, manakala tahap inventori semasa kekal ketat dengan penambahbaikan dilakukan secara beransur-ansur.
Penganalisisnya, Koh Huat Soon berkata, sehingga unjuran pengeluaran pada tahun hadapan kembali kukuh dan mampu meningkatkan tahap inventori, penurunan harga MSM mungkin terhad sehingga suku kedua 2022 dan lebih daripada tempoh itu.
"Oleh itu, secara keseluruhan, kami menjangkakan harga MSM pada 2022 sekitar RM3,500 satu tan metrik," katanya dalam nota kajian hari ini.
Sektor perladangan menyaksikan prestasi buruk pada 2021 di sebalik harga MSM yang kukuh. Pasaran minyak dan lelemak bermula tahun ini dengan inventori minyak sawit yang mencecah paras rendah sedekad dan minyak sawit menerajui pasaran minyak dan lelemak global dengan kira-kira 31% bahagian pasaran.
Pelaksanaan sekatan pergerakan untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19 semakin memburukkan keadaan kerana menyukarkan pergerakan pekerja hingga menyebabkan berlakunya masalah kekurangan tenaga buruh dan menjejaskan pengeluaran tahun ini.
Impaknya amat dirasai di Malaysia kerana sektor itu menggaji 750,000 pekerja, kira-kira 85% daripadanya adalah pekerja asing, menurut Persatuan Minyak Sawit Malaysia.
Bagaimanapun, Huat Soon menjangkakan sektor perladangan akan mencatat prestasi yang baik pada suku keempat ini dan suku pertama 2022.
"Tetapi, dengan harga MSM yang semakin perlahan, kami rasa berhati-hati dalam kalangan pelabur.
"Dengan sentimen yang boleh difahami di tengah-tengah jangkaan kitaran penurunan harga komoditi, maka kami mengulangi pendirian 'neutral' terhadap sektor ini," jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan sektor itu akan memberi ganjaran kepada pelabur dengan dividen yang lebih tinggi dan mengurangkan pinjaman atau kedua-duanya hasil daripada aliran tunai yang lebih kukuh.
"Namun, apa yang lebih menarik, ia rancangan pengembangan yang lebih wajar," tambahnya.
Pilihan bersepadu Kenanga Research meletakkan Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) sebagai pilihan dengan saranan 'outperform' pada harga sasaran RM26.50 yang mana kumpulan baru sahaja mengembangkan kawasan perladangan sebanyak 35% selepas mengambilalih IJM Plantations dan 60% dalam PT Pinang Witmas Sejati.
Selain itu, kawasan perladangannya juga dipelbagaikan dari segi geografi antara Indonesia dan Malaysia, sekali gus mengurangkan pendedahan kepada isu tenaga buruh. Malah, ia mempunyai perniagaan pembuatan hiliran yang besar dengan sahamnya juga patuh syariah.
"Bagi pelabur berorientasikan perdagangan yang ingin memperoleh peningkatan pendapatan jangka pendek daripada harga MSM yang masih tinggi, pilihan modal kecil kami yang juga patuh syariah ialah Hap Seng Plantations Holdings Bhd.
"Malah, ia merupakan syarikat perladangan huluan tulen dengan tunai bersih yang menghasilkan hasil dividen menarik sebanyak 5%," jelasnya firma tersebut. - DagangNews.com