Kenanga Research unjur prospek MISC lemah kesan penurunan kadar pengangkutan kapal tangki | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur prospek MISC lemah kesan penurunan kadar pengangkutan kapal tangki

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Nov - Prospek MISC Berhad diunjur lemah berikutan trend penurunan kadar pengangkutan kapal tangki petroleum dan kos luar pesisir mengekalkan aliran menaiknya.

 

Kenanga Research berkata, kadar spot kapal tangki petroleum mencatatkan penurunan baru-baru ini dengan kadar kapal pengangkut minyak mentah besar (VLCC) pada AS$30,000/hari berbanding AS$40,000/hari pada 3QFY23.

 

Katanya, jika aliran itu berterusan, bahagian petroleum akan menjadi lemah pada FY24 dan seterusnya apabila sebahagian daripada armada melalui pembaharuan penyewaan.

 

"Kami menyemak turun pendapatan FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 19% dan 10%, untuk mencerminkan andaian DCR yang lebih rendah untuk bahagian perkapalan petroleum dan kos yang lebih tinggi sedikit untuk segmen luar pesisir," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Untung bersih MISC merosot 48% kepada RM430 juta bagi 3QFY23, isytihar dividen 7 sen

 

Terdahulu,  pendapatan kumpulan pada suku dalam tinjauan berjumlah RM3.37 bilion, menurun 6.9% daripada RM3.6 bilion tahun lalu, manakala pendapatan sesaham (EPS) susut kepada 9.6 sen daripada 18.4 sen.

 

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 7 sen sesaham untuk FY23, menjadikan dividen tahunan berjumlah 24 sen sesaham, meningkat daripada 21 sen tahun lalu.

 

Keuntungan operasi kumpulan bagi suku berakhir 30 September 2023 itu berjumlah RM649.9 juta, merosot RM380 juta atau 36.9% daripada RM1.03 bilion pada suku sama tahun.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu bagaimanapun berdepan beberaoa risiko termasuk penggunaan dan kadar spot yang lebih rendah daripada jangkaan untuk kapal tangki selain lebihan kos dan kelewatan projek untuk Mero-3 selain pengurangan pengeluaran minyak utama.

 

"Kami mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM7.00 berbanding RM7.62 sesaham. - DagangNews.com