Kenanga Research unjur purata harga minyak sawit mentah pada paras RM3,800 bagi setiap tan pada 2023 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur purata harga minyak sawit mentah pada paras RM3,800 bagi setiap tan pada 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mei - Harga purata minyak sawit mentah (MSM) berada pada paras RM3,800 bagi setiap tan pada tahun ini. 

 

Kenanga Research berkata, prospek bekalan minyak makan pada tahun ini menjadi semakin baik walaupun bekalan kacang soya di Argentina tidak mencukupi untuk mengimbangi rekod penuaian di Brazil.

 

Firma itu berkata, bagaimanapun permintaan minyak makan bagi 2023 semakin pulih dengan ketara disebabkan penambahan semula inventori oleh pembeli kerana harga semasa lebih berpatutan berbanding tahun lalu.

 

Katanya, pembukaan semula China selepas COVID-19 baru-baru ini juga mendorong pemulihan bekalan selain permintaan biodiesel terutamanya daripada Amerika Syarikat, Indonesia dan juga Brazil.

 

"Memandangkan permintaan dan bekalan pulih hampir seiringan membuatkan MSM dalam julat pada purata RM3,800 setiap tan untuk 2023 hingga 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, sejak Januari 2023, harga baja mencatatkan penurunan mendadak, Indeks Baja IMF jatuh 29% dalam masa dua bulan sahaja (daripada 268.9 pada Jan kepada 190.6 menjelang Mac).

 

Katanya, indeks Mac 2023 sebanyak 190.6 juga berada di bawah julat 260-350 pada 2022 dan hanya 6% di atas purata tahun penuh 2021, pada asasnya berlegar pada tahap sebelum konflik Rusia-Ukraine.

 

"Bagaimanapun, pengusaha sering membeli baja lebih awal, jadi faedah penuh daripada kos baja yang lebih rendah akan lebih dirasai pada separuh kedua tahun ini.

 

"Ditambah dengan penuaian yang bertambah baik, kos pengeluaran haruslah tinggi atau sekurang-kurangnya menghampiri kestabilan, dengan purata RM2,000-RM2,500 bagi setiap tan MSM," katanya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' dalam sektor itu. - DagangNews.com