Kenanga Research unjur purata kadar pengangguran 2024 berada pada paras 3.3% | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur purata kadar pengangguran 2024 berada pada paras 3.3%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jan - Kenanga Research mengunjurkan purata kadar pengangguran pada tahap 3.3% bagi tahun ini. 

 

Katanya, pasaran tenaga kerja di negara ini menunjukkan perkembangan yang stabil seperti yang ditunjukkan oleh penurunan dalam kadar pengangguran semasa.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penurunan itu berterusan dalam tempoh terdekat, terutamanya mendapat manfaat daripada peningkatan pasaran antarabangsa, terutamanya pemulihan pasca pandemik di China dan kemasukan pelancong.

 

Permintaan domestik yang kukuh didorong perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan pada musim perayaan yang akan datang, juga akan menyokong aktiviti pengambilan pekerja.

 

"Kami menjangkakan pasaran tenaga kerja akan meneruskan prestasi positif dalam tempoh terdekat dan sepanjang 2024, dengan kadar pengangguran berada pada purata 3.3%, kecuali berlaku kejadian luar biasa yang menjejaskan ekonomi.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kadar pengangguran November 2023 turun 3.3 peratus, kembali ke paras prapandemik- DOSM

 

"Unjuran itu dikaitakn dengan peningkatan ekonomi selanjutnya dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini sebanyak 4.9%, daripada anggaran julat 3.5% hingga 4.0% pada 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, prestasi tenaga kerja negara menunjukkan peningkatan pada November 2023, mengisyaratkan pertumbuhan positif ekonomi semasa dengan pertambahan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala pengangguran terus menurun.

 

Bilangan tenaga kerja terus mencatatkan peningkatan pada bulan November 2023, naik sebanyak 0.2% dari bulan-ke-bulan kepada 17 juta orang .
 

Kadar penyertaan tenaga kerja pada November 2023 kekal pada 70.1% sama seperti pada bulan sebelumnya.- DagangNews.com