Kenapa SiC beri keuntungan berganda kepada industri kenderaan elektrik? | DagangNews Skip to main content

Kenapa SiC beri keuntungan berganda kepada industri kenderaan elektrik?

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Memastikan bateri tahan lama di samping menjimatkan kos memberi cabaran kepada industri kereta elektrik (EV). 

 

Mungkin ramai pemain industri EV belum menyedari kelebihan yang boleh ditawarkan oleh silikon karbida (SiC), iaitu bahan asas semikonduktor pita lebar yang terdiri daripada silikon dan karbon.

 

CGS-CIMB Research mendedahkan pengeluar EV boleh menjimatkan sekurang-kurangnya AS$200 hingga AS$600 (sekitar RM809.06-RM2427.18) bagi setiap kenderaan yang menggunakan bahan SiC bagi pembalik (inverter)  ‘powertrain’ EV.

 

SiC membolehkan pengeluar EV untuk memperluas jangkauan bateri kenderaan, mengurangkan keperluan penyejukan dan meminimumkan jejak pembalik dan bateri dalam EV.

 

“Perubahan ketara dalam industri automotif global yang bermula daripada enjin pembakaran dalaman sehingga elektrifikasi telah mencipta peluang pasaran besar untuk penggunaan SiC. 

 

“Kumpulan penyelidikan pasaran, Yole Developpement menjangkakan pasaran pengurusan tenaga SiC mampu mencapai kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) jualan lima tahun sebanyak 30% daripada AS$541 juta pada tahun 2019 menjadi AS$ 2.5 bilion pada tahun 2025.

 

“Ini didorong oleh penggunaan SiC yang cepat dalam pembalik, pengecas on-board dan infrastruktur pengecasan untuk EV. Dari segi pemain utama pasaran SiC, Yole Developement menganggarkan Cree Inc. mempunyai lebih daripada 60% syer pasaran kapasiti pengeluaran wafer SiC global,” jelas CSG-CIMB dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Di Malaysia, syarikat semikonduktor, Malaysian Pacific Industries Berhad (MPI) mempunyai potensi besar untuk menerima manfaat daripada permintaan peranti tenaga SiC menerusi pelanggannya, Cree, berdasarkan ramalan CGS-CIMB. 

 

Firma penyelidik itu menyatakan bahawa MPI mempunyai hubungan kerjasama unik dengan Cree berdasarkan kekuatannya dalam pembungkusan bahan semikonduktor.

 

“MPI adalah penyedia perkhidmatan backend eksklusif untuk Cree. Kami mendapati bahawa MPI telah memasang serta menugaskan empat barisan pemasangan dan pembungkusan turnkey SiC untuk Cree di Ipoh pada separuh kedua tahun lalu.

 

“Kami menjangkakan sumbangan penjualan daripada pembungkusan SiC masing-masing akan mencapai 2% dan 5% daripada pendapatan MPI pada FY21 dan FY22. Walaupun sumbangan pembungkusan SiC agak kecil untuk kumpulan syarikat itu, namun kami melihat ada ruang untuk sumbangan pembungkusan SiC yang lebih tinggi melebihi FY22, didorong oleh pengembangan kapasiti baharu di Cree,” tambah CGS-CIMB. 

 

CGS-CIMB meningkatkan kadar perolehan sesaham (EPS) bagi FY21 hingga FY23 MPI berdasarkan jangkaan penggunaan yang lebih tinggi dan pertumbuhan permintaan cip yang kukuh dari segmen automotif, perindustrian dan komunikasi.

 

Firma penyelidik itu mengekalkan saranan ‘tambah’ saham MPI dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM36. - DagangNews.com